"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ranting halau jin

Pukulan akan terasa lebih sakit pada rawatan pertama.


PESAKIT yang dipukul dengan ranting nona dipercayai lebih cepat sembuh berbanding menggunakan ranting kayu lain.


LELAKI ini dikatakan sudah merawat ribuan pesakit kronik daripada pesakit darah tinggi dan buasir hinggalah penyakit buatan orang.

Namun, keunikan Pusat Rawatan Islam Manarah yang terletak di Kuang, Selangor ini ialah kaedah rawatannya sekadar menggunakan ranting nona.

Ranting kayu sepanjang 30 hingga 40 sentimeter itu dipukul secara sederhana pada bahagian badan pesakit yang dikesan mempunyai masalah.

“Kaedah ini hampir sama dengan refleksologi cuma bahagian badan yang dipukul berbeza.

“Cara pukulan terbukti lebih berkesan kerana ia dapat menghancurkan angin dan darah kotor yang menyebabkan penyakit itu.

“Namun, ia perlu dibuat secara berterusan untuk tempoh tertentu sehingga pesakit sembuh.

“Sakit kebiasaannya amat dirasakan pada rawatan pertama tetapi akan berkurangan semasa rawatan seterusnya,” ujar pengasas pusat rawatan itu, Dr. Jahid Sidek, 70.




Ibnu Taimiyah

Alunan zikir dan doa serta bahan-bahan untuk rawatan seperti lada hitam, garam halus dan kasar, limau nipis, pasir, cuka makan, air batu, bawang besar dan air mineral turut digunakan oleh bekas pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) itu.

Jahid yang berasal dari Batu Pahat, Johor berpendapat kebanyakan penyakit adalah disebabkan oleh jin namun dikenali sebagai kuman dan virus oleh perubatan moden.

“Ini berdasarkan pandangan dua ulama Mesir iaitu Syeikh Muhammad Abduh dan muridnya Syeikh Saiyid al-Reda bahawa ada tokoh ilmuwan Islam seperti Ibnu Taimiyah yang menggunakan tongkat untuk memukul pesakit yang dirasuk jin.

“Bagaimanapun, ada pesakit yang mengundang bala sendiri seperti menuntut ilmu yang salah serta mengamalkannya, berubat dengan pawang, bomoh atau dukun yang mempunyai jin sebagai pembantu mereka selain disihir dan disantau oleh orang tertentu.

“Kerana itu, terdapat penyakit yang tidak dapat dikesan oleh perubatan moden kerana pesakit diganggu makhluk halus seperti jin dan syaitan,” katanya.

Mengenai ranting nona yang digunakan sebagai metod rawatan, Jahid memberitahu, kebanyakan masyarakat Cina menanam pokok itu di hadapan rumah untuk menghalau hantu.

“Tetapi ia bukan punca utama saya menggunakan ranting itu.

“Sebelum ini saya menggunakan ranting kayu lain seperti senduduk, nangka dan bunga raya.

“Tetapi ia berbisa dan boleh mendatangkan penyakit.

“Ranting nona tidak mempunyai bisa. Saya mendapat idea itu semasa menjadi salah seorang panel syarahan agama di Terengganu.

Dirasuk jin

“Ada seorang peserta lelaki minta saya ubatkan dia. Pada mulanya saya enggan kerana hadir di tempat itu sebagai penceramah tetapi dia terus merayu.

“Dia kata dia selalu kena rasuk jin. Kerana kasihan saya bantu dia. Disebabkan ketika itu, di sekitar lokasi syarahan saya itu tiada pokok lain, kecuali pokok nona, maka saya gunakan ranting pokok nona untuk mengubati lelaki itu,” jelasnya.


URUTAN di jari kaki merupakan satu lagi teknik rawatan di Pusat Rawatan Islam Manarah.


Tambah Jahid: “Saya lalu menggunakan ranting itu untuk memukul leher lelaki itu. Dengan izin Allah, lelaki itu akhirnya memberitahu saya sejak itu, dia telah pulih seperti sediakala.”

Selepas mendapati ranting nona itu tidak berbisa ataupun mendatangkan penyakit, lalu sejak itu Jahid hanya menggunakan ranting pokok nona sebagai metod perubatan,” katanya yang beristeri empat dan mempunyai 15 orang anak.

Jahid juga tidak dapat melupakan pengalaman membantu seorang wanita yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan anak.


PUKULAN ke atas bahagian tubuh yang bermasalah dibuat secara berterusan.


“Dia datang kepada saya lima tahun lalu dan mengatakan telah mencuba pelbagai kaedah rawatan tradisional dan moden namun gagal.

“Selepas mendapat rawatan daripada saya, dua bulan kemudian dia mengandung. Tetapi saya hanya berusaha, kuasa Allah yang menentukan semuanya.

“Saya sekadar membantu. Bayaran pula terpulang kepada keikhlasan pesakit.

“Saya niat menolong dan berharap orang ramai tidak pergi kepada segelintir pawang serta bomoh yang menggunakan jin sehingga membawa kepada syirik yang merupakan satu dosa besar,” katanya.

-kosmo.com-

Tiada ulasan: