"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peluk Islam Kerana Mahu Berkhatan

ummuabbas

Tajuk lain bagi artikel ini ialah, "Seputar Kisah Berkhatan"

Bila waktu sesuai untuk mengkhatankan anak-anak lelaki?

Kira-kira 3 tahun lalu, buat kali pertama saya mendapat pengalaman menjaga anak lelaki yang berkhatan. Abbas berkhatan semasa berumur 7 tahun iaitu cuti sekolah bulan Mac. Pada asalnya, kemaluannya dijangkiti kuman sehingga membengkak dan sukar untuk buang air. Selepas dirawat dan sembuh, Abinya terus membawa ke klinik untuk dikhatankan. Inilah salah satu hikmah berkhatan bagi lelaki iaitu untuk menjaga kebersihan diri dari kotoran dan penyakit.

Daripada pengalaman anak sulung, kami tidak bertangguh untuk mengkhatankan anak-anak seterusnya. Azzam, anak kedua berkhatan semasa berusia 6 tahun pada cuti sekolah hujung tahun. Dua hari lepas, giliran Aziz (6 tahun) pula dikhatankan. Kalau dua orang abangnya sebelum ini rilek sahaja semasa dan selepas berkhatan. Aziz sedikit manja. Semasa mahu dikhatankan, dia sudah menangis. Selepas dikhatankan dia semakin kuat menangis.

Menurut pendapat ulama seperti Imam Ahmad, sebahagian mazhab Hanafi, Ibn al-Qayyim dan lain-lain, waktu paling sesuai mengkhatankan anak lelaki ialah semasa berusia 7 hari. Kitab al-Fatawa al-Hindiyyah fi al-Fiqh al-Hanafiyyah menyatakan waktu yang digalakkan ialah sejak anak-anak berusia 7 tahun hingga 12 tahun.

Tip Mudah Menjaga Anak Berkhatan

Saya sangka saya akan merasa susah menjaga anak-anak yang berkhatan. Justeru itu, kami merancang untuk tidak mengkhatankan anak-anak lelaki secara serentak. Biarlah lepas seorang demi seorang. Kita juga boleh fokus pada merawat seorang anak sahaja.

Semasa kecil dahulu, saya pernah menyaksikan adik beradik lelaki yang berkhatan terlantar lebih kurang seminggu. Mereka berbaring sambil kain pelikat diikat tali dan digantung ke tali yang diikat melintang di atas tempat mereka berbaring. Kalau mahu berjalan pun, tangan akan memegang kain. Nampak susah. Makan pun kena berpantang itu dan ini. Ikan haruan menjadi kemestian agar luka cepat sembuh. Itu dulu.

Sekarang, sejak anak sulung, alhamdulillah, rupa-rupanya tidaklah sesusah yang dijangka untuk menjaga anak yang berkhatan. Semasa Abbas di bawa ke klinik, saya menunggu di dalam kereta bersama anak yang lain. Kain pelikat dibawa bersama. Selepas selesai, saya lihat Abbas berjalan keluar dalam keadaan masih memakai seluar. Eh... apa sudah jadi? Hati tertanya-tanya. Tidak jadi berkhatankah?

Oh... rupa-rupanya Abinya telah menginovasi kaedah meletakkan gelas kertas di bahagian kemaluan yang baru dikhatankan. Gelas itu pula terlekat kemas kerana dilindungi seluar yang dipakai. Kaedah ini terus digunakan untuk Azzam dan Aziz. Cuma Aziz kurang selesa dengan gelas kertas yang katanya mudah tersentuh bahagian luka.

“Sakitlah Ummi... Aziz suka pakai mangkuk tu”

Mangkuk yang dimaksudkan adalah mangkuk polisterin. Secara tidak sengaja, suami saya meminta gelas kertas semasa mahu bawa Aziz ke klinik namun di rumah kami tidak menyimpan gelas kertas. Yang ada hanyalah mangkuk polisterin lebihan jamuan Eidul Fitr lepas.

Suami bawa apa yang ada. Alhamdulillah, rupa-rupanya Aziz selesa dengan mangkuk tersebut. Ruangnya lebih luas berbanding gelas. Jadi, walaupun suami sediakan gelas kertas bekas minuman yang dibeli, Aziz tidak mahu memakainya lagi selepas mencuba sekali.

Kaedah penjagaan yang kami lakukan pula ialah setiap kali Aziz buang air, mangkuk yang sudah terkena darah akan dibuang dan diganti baru.

Tiada pantang larang untuk makan seperti biasa. Ikan haruan masih berguna di zaman sekarang untuk merawat luka. Biasanya selepas 3 hari, anak-anak sudah boleh berlari dan bermain semula. Tidak lagi macam dulu yang mana budak-budak lelaki yang berkhatan tidak bebas ke sana ke mari kerana masih memakai kain pelikat.

Doktor khatankan anak sendiri di klinik?

Iya... kerana segala kelengkapan ada di klinik dibandingkan di rumah. Antaranya katil khusus untuk pesakit yang mana doktor tidak perlu terbongkok-bongkok menjalankan tugasnya. Katil boleh diubah suai ketinggiannya untuk memudahkan doktor melihat dan merawat pesakit. Jika berlaku pendarahan yang tidak diingini, peralatan untuk merawatnya mudah didapati dan dapat terus digunakan.

Suami akan membawa anak ke klinik kawannya. Biasanya kawannya yang lebih senior itu menawarkan diri untuk mengkhatankan anak kami. Jadi suami hanya membantu sahaja.

Daripada pengalaman ini, saya syorkan para ibubapa yang berhasrat menjemput doktor atau MA ke rumahnya agar menghantar anak ke klinik untuk berkhatan. Jika dibuat program berkhatan beramai-ramai tidak mengapalah. Biasanya, doktor akan meminta disediakan meja makan menggantikan katil untuk memudahkan tugas mereka. Tetapi berkhatan beramai-ramai akan mendedahkan anak-anak kepada jangkitan yang boleh tersebar melalui darah, terutamanya apabila tempoh antara-pesakit yang pendek dan alatan tidak dicuci dengan sempurna.

Ibadah berkhatan

Syukur kepada Allah yang menetapkan syariat berkhatan sesuai dengan fitrah manusia. Dalam satu hadis yang dilaporkan oleh Abu Hurayrah, Nabi s.a.w berkata,

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ أَوْ خَمْسٌ مِنْ الْفِطْرَةِ الْخِتَانُ وَالِاسْتِحْدَادُ وَنَتْفُ الْإِبْطِ وَتَقْلِيمُ الْأَظْفَارِ وَقَصُّ الشَّارِبِ

“Di antara fitrah ada lima perkara; khitan, memotong bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan memotong misai.

Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.

Fitrah di sini bererti sunnah yang disyariatkan bagi ummat Islam bagi menjaga kebersihan dan kesucian badan daripada pelbagai kotoran. Topik khitan dan lain-lain mengenai penjagaan diri dibahaskan oleh ulama fikah di dalam Bab Toharah (bersuci). Ini menunjukkan betapa Islam menitik beratkan soal kesucian diri dan menjaga imej ummahnya agar sentiasa tampil segar dan kemas.

Topik ini juga membuktikan salah satu keindahan ajaran Islam. Hari ini, berkhatan turut diamalkan di kalangan non muslim kerana mereka juga mahu faedah positif daripadanya. Maha suci Allah yang menjadikan amalan kebersihan sebagai salah satu ibadah penting dalam Islam.

Pernahkan ditemui di dalam Bible atau kitab-kitab agama lain yang mengatakan berkhatan sebahagian daripada ibadah? Jika ada pun, ia adalah dari syariat Allah pada nabi-nabi terdahulu yang masih tersisa kebenarannya.

Menurut hadis yang direkodkan oleh Imam Bukhari, orang pertama yang berkhatan ialah Nabi Ibrahim. Apa yang penting diketahui ialah amalan berkhatan sudah wujud sejak beribu tahun yang lalu. Dan ia bukan baru disyariatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w serta ummatnya.

Sketsa Orang Asli yang Berkhatan

Sewaktu bertugas di Klinik Kesihatan Sungai Koyan, saya pernah mengiringi suami melawat kampung-kampung orang asli. Dahulu kami perlu menaiki bot di Kg Kuala Medang untuk ke kampung-kampung mereka.

Antara rawatan yang pernah diberikan ialah suami mengkhatankan orang-orang asli yang memeluk Islam. Antara mereka ada yang mengakui bahawa isteri memuji ‘bertambah seronok’ selepas suami berkhatan. Mula-mula tu cuma 24 lelaki orang asli yang berminat memeluk Islam, tetapi selepas diterangkan ‘keseronokan’ isteri itu, seramai tiga orang lagi memeluk Islam. Jadi sebenarnya berkhatan bukanlah menakutkan orang bukan Islam kepada Islam. Yang penting adalah penerangan dan rasional sesuatu hukum Allah itu.

Satu kisah yang saya temui, Tok Kenali pernah ditanya mengenai hikmah berkhatan. Tok Kenali lalu membawa sebiji pisang dan disuruh lelaki tersebut makan buah pisang itu tanpa membuang kulitnya. Lalu dijawab lelaki tersebut “Mana sedap makan sekali dengan kulit!”. Lalu Tok Kenali memberikan jawapan, begitulah jua hikmah berkhatan bagi seorang lelaki. Pihak isteri pun tidak selera makan sekali dengan “Kulit”.

Diharapkan daripada pengalaman suami saya mengkhatankan masyarakat orang asli dan jawapan bijaksana dari Tok Kenali dapat dikongsi oleh setiap muslim terhadap orang bukan Islam agar mereka tertarik dengan Islam.

Pernah juga saya dengar orang Islam sendiri menakutkan non-muslim lelaki yang bertanya tentang Islam, “Nak masuk Islam kena potong dulu...”. Itulah antara ‘ugutan’ yang diberikan. Sepatutnya topik aqidah yang didahulukan dan bukannya isu fiqh. Fikah boleh diterangkan dengan rasional yang selari dengan fitrah manusia. Tiada manusia normal yang akan menolak sesuatu yang memberi manfaat kepada mereka.

Khatan itu sendiri bermaksud potong. Apalah yang menarik sangat berkenaan potong ini sehingga ia menjadi bahan iklan di televisyen dalam bentuk menakut-nakutkan.

Menurut mazhab Hanafi dan Ibn Qudamah, lelaki dewasa yang memeluk Islam gugur kewajipan berkhitan jika bimbang kemudaratan menimpa dirinya. Namun kaedah berkhatan hari ini yang mempunyai ubat bius tidak lagi memberi mudarat walau kepada lelaki berusia. Pengalaman suami saya bersama orang asli membuktikannya. Bahkan mereka tetap menikmati kesan positif hubungan intim bersama isteri.

Islam Itu Indah

Ummu Abbas

12.13am

5 Disember 2009

Foto-foto di http://keranacinta.wordpress.com/

1 ulasan:

armouris berkata...

info tentang berkhatan kat sini - Kelebihan Berkhatan