"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Exco cadang negeri lantik penasihat undang-undang

Muhammad Yusri Amin
KOTA BHARU, 8 Jan:
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan mencadangkan Penasihat Undang-Undang Negeri dilantik oleh kerajaan negeri, bukannya Peguam Negara.

Katanya, langkah itu penting bagi mengatasi kesukaran yang dialami kedua-dua belah pihak terutama kerajaan negeri sendiri ketika berhadapan dengan kepentingan tertentu membabitkan pentadbiran negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Kita perlu membuat kajian kemungkinan bagi (membolehkan) kerajaan negeri melantik Penasihat Undang-Undangnya sendiri, tidak daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Gotong Royong Perdana dan Kota Bharu Bersih 2010 di Pasar Awam Bersepadu Wakaf Che Yeh dekat sini, semalam.

Menurutnya, banyak kes membabitkan kepentingan negeri, namun terpaksa berhadapan dengan Kerajaan Persekutuan di mana Penasihat Undang-Undang Negeri tidak boleh mewakili atau menghadapi kesukaran untuk mewakili kerajaan negeri.

“Bukan Penasihat Undang-Undang Negeri itu tidak boleh memberi nasihat dengan baik, tetapi mungkin beliau ada 'sekatan'. Ini kerana taukenya ialah Kerajaan Persekutuan.

“Apabila berlaku apa-apa pertelingkahan (dispute) antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, kita lihat Penasihat Undang-Undang Negeri yang mana taukenya adalah Peguam Negara, beliau itu amat sukar hendak memberi nasihat yang baik kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Tambahnya, dengan cara itu saja kerajaan negeriyang berbeza dengan Persekutuan dapat mengendalikan masalah yang wujud dengan baik dengan kerjasama Penasihat Undang-Undang Negeri.

Katanya, kerajaan negeri mesti mendapat kerjasama penasihat undang-undang negeri supaya negeri berada dalam keadaan yang lebih baik dan tidak berada dalam dilema dan serba salah.

Tiada ulasan: