"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Beza Islam Melayu dengan Kristian Arab

Ali Bukhari Amir
Penggunaan nama Allah s.w.t bagi menggantikan nama Lord, Jesus dalam akhbar Herald telah mengirim kekeliruan mendadak ke dalam diri masyarakat hari ini khasnya umat Melayu yang peka, prihatin berhubung agama mereka.

Saya tidak begitu fasih berhubung hukum-hakam dan selok-belok agama. Jadi, dalam ruangan yang serba singkat ini, ada beberapa pertanyaan dan juga penjelasan tentang hal ini. Dan, sudah tentu perbahasan ini akan mengundang polemik yang pelbagai juga.

Pertama, kedudukan orang Melayu yang menamakan Tuhan mereka sebagai Allah s.w.t, Ar-Rahman, Ar-Raheem dan 99 nama-nama Allah yang baik itu. Sebagai termaklum, orang Melayu ketika beragama Hindu dan Buddha, mereka tidak menamakan Tuhan mereka sebagai Allah s.w.t.

Hal ini, tentunya berbeza dengan bangsa Arab yang beragama Yahudi, dan Arab Kristian di Timur Tengah. Sememangnya, lidah mereka sejak era Jahiliyah lagi menyebut Tuhan sebagai Allah. Hal ini boleh dijumpai dalam mana-mana peristiwa yang merakamkan sumpah mereka dalam hal-hal tertentu.

"Demi Allah... wallahi," kata Abu Jahal, Abu Lahab dan sesiapa sahaja yang ingin bersumpah ke atas sesuatu perkara. Mereka bersumpah begini dalam keadaan mereka masih berada dalam era Jahiliyyah.

Mereka menyebut nama Allah kerana mereka berbangsa Arab. Ia tiada kaitan dengan agama. Tuhan adalah 'Ilah' menurut lidah bangsa Arab. Sementara bangsa Yahudi, iaitu saudara kandung bangsa Arab, memanggil Tuhan sebagai 'Ilu.' Istilah 'Ilah' dan 'Ilu' adalah istilah yang bermaksud sama; Tuhan. Ini terjadi, kerana kedua-dua bangsa ini tergolong dalam bangsa Semitik, iaitu kerana mereka ini sejurai keturunan daripada Nabi Ibrahim a.s.

Orang Melayu sebelum kehadiran Islam tidak memanggil Tuhan dengan nama Allah seperti hari ini. Sebab itu, dalam kes ini, tidak boleh kita samakan Islam Melayu dengan Kristian Arab. Bangsa Arab Kristian di Timur Tengah akan tetap menyebut Allah kerana lidah mereka Arab. Ertinya, ada beza antara Islam Melayu dan Kristian Arab. Dan, inilah yang seharusnya diteliti oleh semua pihak ketika membincangkan hal ini.

Soal bagaimana Kristian Melayu di Indonesia menyebut Jesus sebagai Allah ini perlu dikaji lebih lanjut kerana saya juga tidak memiliki sejumlah data lengkap dan fakta yang meyakinkan. Adakah pernah Arab Kristian yang menyebarkan risalah, dakyah Kristian di Nusantara ini dahulu?

Rasanya, Kristian berkembang di Tanah Jawa, baik Sumatera dalam mazhab apa sahaja, baik Jehovah Witnesses, Katolik, Protestan - ia dikembangkan oleh sejumlah paderi-paderi berbangsa kulit putih - Jerman, Belanda, Portugis dan lain-lain bangsa Barat.

Entah sejak bila mereka menukar nama Jesus, Yesus kepada Allah ini, kita sendiri tidak pasti. Tetapi, hal ini memang berkembang pantas di sana. Atas tujuan apakah perubahan nama ini dibuat, hal ini kurang pasti pula. Kenapakah Kristian tidak menukar nama Jesus, Yesus kepada Om, Shiva, Vishnu, Buddha, hal itu kurang pasti. Ia perlu kajian lanjut.

Apabila kita tidak menemukan seberkas jawapan terhadap rasional pengubahan nama Yesus kepada Allah ini, maka terbitlah keraguan dalam kalangan Melayu. Dan, hal keraguan ini tidak boleh dipersalahkan. Keraguan berbentuk andaian spekulasi itu berbunyi - bahawa perubahan nama ini berlaku dengan niat untuk menyebarluaskan ajaran Kristian ini ke dalam umat Melayu.

Kedua, keraguan umat Islam khasnya Melayu sebagai bangsa pemimpin Islam di Malaysia terhadap usaha-usaha Kristian Missionaries. Mereka tidak boleh melupakan kisah Natrah dan Aishah Bukhari. Natrah misalnya, telah dianggap sebagai sebahagian daripada hidup mereka lantaran persamaan syahadah dan aqidah, biarpun Natrah berbangsa Belanda.

Maka, Kedudukan Belanda sebagai salah satu kuasa penjajah yang pernah menjajah Melaka dan Tanah Melayu suatu ketika dahulu, ternyata tidak menyebabkan Melayu era 1950-an melihat Natrah sebagai penjajah. Malah, sebaliknya Natrah itu belahan jiwa mereka.

Ya, tentu saja hal-hal pengkristian Melayu ini berkembang daripada episod luka menjadi adegan membarah. Tidak boleh dipersalahkan Melayu 100 peratus apabila mereka tidak senang ke atas penukaran nama Jesus kepada Allah ini. Bukti-bukti memang ada. Sudah ada pertukaran agama dalam kalangan wanita-wanita Melayu, anak-anak muda khasnya gadis telah dilarikan entah ke mana dan akhirnya keluarga terputus hubungan.

"Abah, Aishah sudah Kristian, jangan cari Aishah lagi," begitu lafaz Aishah melalui telefon kepada ayahnya. Hati bapa mana yang tidak luruh? Pelarian ini mungkin juga dilakukan dengan helah dan penipuan. Maka, jenayah dalam hal ini terbelah kepada dua tafsiran. Jenayah atas penukaran agama atau jenayah melarikan orang? Kita tinggalkan persoalan di atas untuk sama-sama dijawab.

Ketiga, kedudukan negara kita yang telah terpaut dengan faham pengasingan kuasa dalam politik kita hari ini. Pengasingan kuasa Parlimen, Mahkamah dan Eksekutif patut juga dilibatkan dalam perbincangan ini.

Barangkali umat Melayu masih boleh memikirkan lagi jalan-jalan untuk mengatasi hal ini. Mahkamah telah memberikan kuasa. Tetapi, Melayu Islam masih ada dua kuasa lagi, iaitu kuasa Parlimen dan kuasa Eksekutif.

Ahli-ahli Parlimen Melayu Muslim tanpa mengira kedudukan mereka daripada parti mana, boleh menyuarakan hasrat mereka di Parlimen untuk membantah penukaran nama ini. Begitu juga, kuasa eksekutif iaitu kerajaan hari ini boleh mengenakan kuasanya melalui akta penerbitan agar Herald terus menggunakan kalimah Yesus, tetapi bukan Allah.

Tiada ulasan: