"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Patutkah Umno meraban jika Cina terima Islam?

Mat Zain Mat Isa

Nampak sangat Umno tidak selesa dengan kejayaan PAS memecah tembok prasangka kaum bukan Islam terhadap parti Islam itu. Sambutan positif diterima PAS dari masyarakat bukan Melayu secara tidak langsung memberikan kesan sebaliknya kepada Barisan Nasional (BN) dipimpin Umno.


Fenomena itu tergambar jelas menerusi arus sokongan pengundi lewat pilihan raya umum lalu. Bahkan, jika tidak kerana sokongan bukan Islam yang berpaling daripada BN kepada parti-parti pembangkang pun, Umno dipercayai akan tetap senantiasa mencemburui apa jua kemajuan dicapai PAS selaku musuh tradisinya.


Sebab itu tidak menghairankan apabila setiap kali PAS tampil dengan usaha dan perancangan mendekati golongan bukan Melayu-Islam, Umno mudah hilang punca. Ia mula meraban tak ketahuan hala, seraya mengambil kesempatan mengutuk PAS dengan bermacam-macam tanggapan negatif.


Ingat lagi bagaimana reaksi Umno terhadap slogan ‘PAS Untuk Semua’ sejurus menjelang pilihan raya umum lalu? Parti Melayu itu bagaikan cacing kepanasan melihat perkembangan menakjubkan apabila kaum bukan Melayu di serata negara tampil menyatakan sokongan terbuka terhadap PAS.


Lalu bagi menyembunyikan kegusaran dan keaibannya, Umno cuba meremehkan usaha PAS itu. Dikatakan PAS semakin terdesak untuk menang sehingga sanggup bersekongkol dengan bukan Islam. Ada pula yang mendakwa PAS terpaksa mendampingi bukan Melayu-Islam kerana parti itu telah kehilangan sokongan kaum sebangsa dan seagamanya sendiri, yang kononnya semakin setia terhadap Umno-BN.


Di masa sama juga Umno sebaik mungkin memanfaatkan kepakarannya melagakan sesama parti pembangkang. Sasaran utama taktik jahat itu ialah hubungan baik antara PAS dan DAP. Setiap kali kelihatan DAP dan PAS ke arah mengambil persefahaman berdepan BN secara berstrategi, Umno akan berusaha meletakkan “pembaji” di antara dua parti itu.


Dalam banyak keadaan Umno menjadi batu api menyemarakkan prasangka antara para pendokong kedua-dua parti musuhnya itu. Di hadapan orang Melayu-Islam, ia mengatakan PAS menggadai prinsip. Kononnya demi mendapatkan kuasa PAS tergamak membelakangkan dasar menubuhkan negara Islam, semata-mata mahu mengambil hati DAP yang amat membantah dasar tersebut.


Kepada kaum bukan Islam pula, Umno dan parti-parti bukan Melayu dalam BN mengatakan DAP mengkhianati kepercayaan yang diberikan kaum mereka apabila sanggup menerima konsep negara Islam ditaja PAS.


Itulah sikap Umno sejak dulu hingga kini dan mungkin akan berkekalan selamanya. Parti itu bukan sahaja tidak bersedia mengemukakan kebaikan Islam kepada rakyat bukan Islam, terutama rakan-rakannya di dalam BN. Sebaliknya ia akan menuduh PAS dengan bermacam-macam label negatif apabila parti Islam itu menawarkan kebaikan Islam kepada bukan Islam.


Dua isu yang berlaku minggu lalu adalah contoh terbaru tentang perangai jahat Umno itu. Kedua-dua isu tersebut adalah ekoran kenyataan Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang ada hubungkait dengan bukan Melayu.


Isu pertama ialah kenyataan Menteri Besar Kelantan itu yang mengaitkan kesudian pemimpin DAP menjulang lambang PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) seolah-olah menggambarkan kesediaan mereka menerima dasar perjuangan PAS, termasuk menubuhkan negara Islam.


Belum pun sempat pemimpin DAP memberi reaksi, khalayak pendokong Umno terlebih dahulu mempersendakan tanggapan positif Nik Aziz itu. Ada yang mempertikaikan sejauh manakah benarnya DAP akan berkompromi dasarnya menolak negara Islam. Malah ada penganalisis politik bagi pihak Umno mendakwa hakikat sebenar yang berlaku adalah sebaliknya. Katanya, bukan DAP yang menerima dasar PAS, sebaliknya PAS yang didakwanya menerima dasar DAP.


Isu kedua pula, juga dari kenyataan Nik Aziz, ialah mengenai tawaran jawatan Menteri Besar Kelantan kepada pemimpin bukan Melayu beragama Islam. Kerajaan Kelantan, katanya, bersedia meminda undang-undang tubuh negeri itu bagi membolehkan pelantikan itu dibuat.


Kenyataan itu juga membuatkan Umno meraban dan meracau. Mereka menuduh PAS menggadaikan hak bangsa, terdesak memenangi hati bukan Melayu dan berbagai lagi. Sedangkan perkara utama di sebalik kesediaan Nik Aziz itu ialah sifat mulia Islam yang tidak mengiktiraf batasan kaum. Mudah-mudahan kebaikan itu mampu menarik minat bukan Islam menerima agama suci ini.


Malangnya, strategi dakwah itu gagal diselami Umno. Hakikat ini mengingatkan penulis kepada kata-kata seorang aktivis PAS berbangsa Tionghua, dalam satu majlis dialog antara pemimpin PAS dengan masyarakat Cina di Kota Bharu, awal 80-an dulu. Kalau tidak salah ingatan penulis, aktivis itu ialah Kamal Koh Ah Thoung.


Dalam ucapannya di hadapan kaum Cina itu, beliau melahirkan kekesalan apabila kaum majoriti Melayu di negara ini tidak giat memperkenalkan Islam kepada kaum bukan Islam, walau pun tinggal berjiran. Beliau sendiri menerima Islam di usia sudah dewasa.


Punca utama menurut beliau ialah kerana sikap Umno selaku parti pemerintah yang bukan sahaja tidak gemar melakukan dakwah, tetapi turut menyekat usaha dakwah dilakukan parti lawannya.


“Kalau Umno tidak mahu menyampaikan Islam kepada kaum bukan Islam, tidak mengapa, tetapi jangan lah halang PAS berbuat begitu,” tempelak Kamal Koh, sambil diberikan tepukan gemuruh oleh hadirin.


Kini, selepas hampir 30 tahun, perangai Umno itu tetap tidak berubah!


-Detikdaily-

Tiada ulasan: