"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nama Allah yang eksklusif dan inklusif

M Jusoff Taib

MEMANG patut sangat Lujnah Politik PAS bermesyuarat berkenaan isu penggunaan nama Allah oleh pihak agama Kristian. Sekelian pemimpin PAS termasuk sekelian jema’ahnya seharusnya bersuara dengan satu suara dalam apa jua isu apakala bercakap sebagai jurucakap mewakili PAS. Nampaknya ada yang terkejut apabila membaca berita tentang pandangan YB Khalid Samad yang berpandangan bahawa nama Allah bukan eksklusif milik Islam.

Tapi saya tidak terkejut. Ini disebabkan agama Islam bukan agama yang mengajar penganutnya seperti kepercayaan Yahudi, yang mana Tuhan mereka merupakan kuasa maha tinggi yang eksklusif bagi bangsa Yahudi.

Allah dalam pandangan umat Islam adalah Yang Maha Esa, Maha Perkasa lagi Maha Pengasih-Penyayang untuk sekelian manusia dan sekelian alam sebegaimana terkandung dalam bacaan Al-Fatihah.

Konsep ketuhanan yang terkandung dalam perkataan Allah sebagai nama Tuhan Maha Esa yang khas yang merupakan nama Al-Jalalah Tuhan Rabbul ‘alamin itu, diberi makna jelas sekali oleh wahyu Allah dalam Surah Al-Ikhlas:

“Katakanlah: Allah Esa. Allah tumpuan seluruh makhluk. Tidak berputera, tidak diputrakan. Tidak meyerupai dan tidak layak disetarafkan dengan apa-apapun.”

Dalam konsep Islam, memang Allah dan agamanya bukan eksklusif bagi penganut Islam, malah agama diperuntukkan untuk semua manusia di alam ini. Umat Islam sentiasa mengharapkan seluruh umat manusia ini bersatu-padu melalui Islam sebagai agama benar dari Allah.

Setiap muslim, tanpa lelah dan putus asa, terus menjadi pendakwah untuk menyampaikan ajakan (dakwah) kepada seluruh saudara sekemanusiaan supaya insaf bahawa Allah itu ada dalam hati nurani setiap insan secara fitrah.

Tapi itu dari pandangan penganut Islam. Namun dari sudut lain, mengubah perkataan ‘God’ dalam Kitab Bible kepada “Allah” untuk menjadikan bacaan bagi umat Malaysia, adalah sangat keliru dan tidak beralasan dari pihak Kristian.

Kecualilah jika sekiranya akidah Kristian yang menjadikan Nabi Isa a.s. sebagai putera Allah itu diralatkan dan menepati akidah Tauhid Islam.

Lagi pula, alasan untuk menterjemahkan ‘God’ dengan ‘Allah’ tidak berdasarkan hujah kebenaran berdasarkan asal-usul Kitab Bible itu sendiri. Bible adalah berasal dari terjemahan bahasa Yunani.

Menurut sebuah buku yang sangat bernilai bagi memahami agama Kristian dan Kitab Suci mereka, iaitu buku berjodol Muhammad in Bible oleh Prof. Abdul Ahad Dawud sangatlah berharga.

Prof. Abdul Ahad Dawud adalah asalnya seorang pendeta besar bernama David Benjamin Kaldani. Merupakan seorang guru besar theologi merangkap bekas Pastor Katholik Roma untuk wilayah Kaldan.

Dalam buku itu ada menegaskan: “Dalam sejarah disebutkan bahawa naskah tertua dari injil-injil itu berasal dari sekitar tahun 175 sampai 200 setelah wafat Isa al-Masih.”

Walau pun Bible itu, bagi umat Islam, tidak lagi boleh dianggap asli seperti mana Al-Quran. Namun dalam Bible yang ada sekarang, masih terdapat gambaran kemurnian kepercayaan Nabi Isa sebagai Nabi Allah. Seperti terdapat dalam Bible 12:29 dimana Isa a.s. menuturkan Tuhan yang disembah adalah Tuhan Yang Esa.

Perkataan ‘God’ tidaklah sempurna untuk diterjemahkan kepada ‘Allah’. God adalah berasal dari bahasa yang digunakan oleh anglo-saxon dan Teuton untuk menamakan sesembahan mereka.

Tidak seperti perkataan Allah, God boleh berubah atau diubah. God boleh ditambah ‘s’ (gods) untuk menjadi ‘tuhan-tuhan’. Boleh dijadikan perempuan dengan ditambah ‘dess’ (goddess). Boleh menjadi tuhan-tuhan kecil kalau ditambah ‘ling’ menjadi godling. (Ahmad Dedat, 1994).

Serupa juga jika nama Allah diterjemahkan sebagai Tuhan dalam bahasa Melayu. Ia tidak menepati. Begitu juga kalau dalam bahasa jawa tidak boleh digantikan Allah dengan ‘Hyang’, malah terpaksa pula ditambah menjadi ‘Sang Hyang Tunggal’ yang menepati Tuhan Yang Maha Esa.

Perkataan Allah pengertiannya amat jelas dalam Al-Quran. Dan tidak keliru. Allah difahami oleh penganut Islam sebagai nama Zat, yang tidak boleh dipecah dan dibahagi. Tidak ada pecahan kata jamak (plural) bagi perkataan Allah.

Tiada ulasan: