"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

5 ahli AMK ditahan, polis guna akta bahan letupan

Syed Mu’az Syed Putra

HULU SELANGOR, 22 April: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyelar tindakan polis kerana menahan lima ahli sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat itu atas alasan tidak masuk akal iaitu membawa senjata bahaya dan bahan letupan.

Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa berkata, kesemua ahli AMK termasuk dirinya telah ditangkap kira-kira 7 petang semalam dan kemudian dibawa ke Balai Polis Bukit Sentosa.

“Kami ditangkap kira-kira pukul 7 petang semalam oleh sekumpulan pihak polis dan menyelongkar kenderaan yang kami naiki sebelum dibawa ke Balai Polis Bukit Sentosa.

“Di sana setelah diambil keterangan kami turut digari dan diletakkan dalam lokap untuk satu malam,” katanya.

Pukul 10 pagi ini mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baru.

“Kami terkejut apabila mengetahui bahawa kami dicaj di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan iaitu membawa senjata merbahaya dan bahan letupan,” katanya pada sidang media di Kuala Kubu Baru, petang tadi.

Beliau berkata, senjata merbahaya yang dibawa oleh mereka hanya pisau lipat berharga 20 sen untuk memotong poster-poster Barisan Nasional (BN) dan pihak tertentu yang berunsur provokatif dan fitah yang turut digunakan oleh murid-murid tadika.

“Saya nak bagitahu senjata itu adalah pisau lipat yang berharga 20 sen yang kami gunakan untuk memotong poster-poster berunsur provokasi dan fitnah.

“Kami berada di Bukit Sentosa untuk mengedarkan risalah kepada pengundi, semasa ingin bergerak balik kami berhenti sekejap untuk memantau poster-poster itu sebelum ditangkap.

“Kami telah menjalankan operasi ini sejak dari pagi lagi untuk memotong poster-poster sedemikian kerana kami dapati masih banyak terdapat di sini yang sepatutnya menjadi tugas SPR,” katanya yang dibebaskan pada pukul 2.50 petang tadi dengan jaminan polis.

Fariz yang juga pengarah jentera pilihan raya AMK berkata, tindakan polis ini seolah-oleh menunjukkan ada campur tangan politik yang mahu melumpuhkan gerakan jentera pilihan raya AMK.

“Semasa kami memohon untuk dibebaskan di Mahkamah Majistret, pihak mahkamah telah menolak permohanan reman dan saya melihat ada unsur malafide (berniat jahat) kerana polis mahu memanjangkan tempoh reman sehingga 25 April ini sedangkan kami telah memberi kerjasama sepenuhnya dengan mereka sepanjang tempoh ditahan.

“Kami lihat ada unsur-unsur campur tangan politik yang berlaku yang mahu memastikan saya terus ditahan bagi memastikan pergerakan jentera pilihan raya AMK yang dikendalikan saya tergendala.

“Sebab itu saya melihat tindakan menahan saya bersama empat ahli AMK yang lain secara jelas tidak mempunyai motif yang sebenarnya,” katanya.

Selain Fariz, empat ahli lain yang ditahan ialah Ahmad Shalizan Safrim, Ahmad Amin Runass, Ahmad Syiha dan Wan Khairun Fazillah.

“Kami akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu esok atas tuduhan memiliki senjata berbahaya berupa pisau lipat ketika menurunkan kain rentang bersifat provokasi di Bukit Sentosa.

“Kesemua bahan bukti dan kenderaan yang digunakan mereka semalam masih ditahan oleh pihak polis,” katanya.

Kesemua ahli AMK itu akan diwakili oleh peguam mereka, Saiful Izham Ramli.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: