"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita tua, cucu ketagih syabu

JITRA: Seorang nenek berusia lebih separuh abad sanggup mengambil risiko dengan menjalankan aktiviti pengedaran dadah bersama cucu lelakinya sejak hampir sebulan lalu sebelum dicekup polis Selasa lalu.

Kegiatan mereka terbongkar selepas sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah yang didiami nenek berkenaan di Kampung Pida 2, Kodiang, di sini dan menemui beberapa peket dadah jenis syabu yang dipercayai siap untuk dijual.

Lebih mengejutkan, warga emas berusia 68 tahun dan cucu lelakinya berusia 20-an itu didapati positif mengambil dadah jenis syabu selepas menjalani ujian saringan awal air kencing pada hari kejadian.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin, berkata berdasarkan maklumat yang diterima, sepasukan anggotanya dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu yang diketuai Inspektor Mohd Rizuan Md Salleh ke rumah suspek untuk membuat pemeriksaan, pada jam 6 petang.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah jenis syabu membabitkan pasangan suami isteri yang dipercayai anak nenek terbabit di kawasan lain tetapi gagal dalam serbuan pertama itu berikutan rumah berkenaan kosong.

“Kita percaya rumah pertama yang diserbu sebelum ini dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh mengesan kehadiran polis ke kawasan itu.

“Bagaimanapun, selepas menerima maklumat terbaru, pihak kami kemudian menyerbu rumah nenek terbabit di Kampung Pida 2, Kodiang, di sini dan mendapati nenek terbabit berada di ruang tamu dalam keadaan terkejut sebaik menyedari kehadiran polis walaupun rumah itu turut dilengkapi kemudahan CCTV.

“Kami kemudian membuat pemeriksaan di sekitar ruang tamu rumah itu dan mendapati tiada sebarang penemuan dadah di situ dan ketika serbuan, hanya mereka berdua berada di rumah itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki dipercayai cucu nenek terbabit bersembunyi dalam bilik air dalam keadaan ketakutan menyebabkan pihaknya mengesyaki sesuatu yang mencurigakan.

Sawaludin berkata, hasil pemeriksaan menemui satu botol plastik di atas lantai dan di dalamnya mengandungi 11 paket dadah jenis syabu seberat tujuh gram yang dibungkus dalam pelbagai saiz.

Beliau berkata, pihaknya percaya nenek terbabit dan cucunya itu dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk membeli dadah berkenaan berikutan harga yang tertera pada setiap paket itu dan dipercayai harga yang dijual adalah mengikut berat gram bagi setiap paket.

-hmetro-

Tiada ulasan: