"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lemas di taliair: KADA diperintah bayar RM113,286

Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini memerintahkan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) membayar RM113,286 kepada sepasang suami isteri kerana kecuaian sehingga menyebabkan anak mereka yang berusia lima tahun lemas di taliair milik KADA pada Ogos 2005.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan itu selepas mendapati KADA bertanggungjawab sepenuhnya atas kejadian yang meragut nyawa Nursyazana, anak bongsu Fadzlil Abdul Aziz, 53, dan Saloma Yaakob, 48.

"KADA telah tidak mengambil tindakan menghalang orang ramai melalui titian berkenaan, dan kalau si mati ini merupakan orang dewasa, senarionya mungkin berubah, tetapi si kecil ini ketika kejadian tidak mengetahui apa-apa pun.

"Memang terdapat papan tanda amaran, namun papan tanda itu diletak selepas kejadian tersebut, dan KADA mendakwa ia adalah kawasan larangan yang sepatutnya tidak boleh dilalui sesiapa," katanya.

Dalam penghakimannya, Ahmad Zaidi berkata keterangan pakar perubatan juga mengesahkan kedua-dua plaintif, yang diwakili peguam Shaharuddin Mohamed, mengalami kemurungan serius dan terpaksa bergantung kepada ubat antikemurungan sehingga sekarang.

Sehubungan itu, beliau memerintahkan KADA membayar RM50,000 kepada setiap plaintif sebagai gantirugi kemurungan, RM10,000 ganti rugi kesedihan dan RM3,286 gantirugi khas.

Kada yang diwakili peguam Wan Noreha Wan Ali, juga diarah membayar kos mahkamah dan faedah sebanyak RM15,000.

Fadzlil dan Saloma menamakan KADA dan pengurus besarnya sebagai defendan.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang pada 11 Ogos 2005, anak perempuan pasangan itu terjatuh ke dalam tali air ketika menunggang basikal melalui titi dalam kawasan Kada berhampiran rumahnya di Kampung Padang Mokkan, Peringat di Kota Bharu.

Kanak-kanak itu, yang mahu ke rumah jiran, ditemui mati lemas dalam tali air tersebut.

Sementara itu, Saloma sebak namun berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang memihak kepada mereka.

"Kejadian ini sangat memberi kesan kepada saya dan suami, dan kami berasa bersyukur keadilan berpihak kepada kami," katanya.

Fadzlil yang merupakan kakitangan Jabatan Pertanian pula berkata mereka akan mengadakan kenduri kesyukuran dan berharap kejadian itu juga memberi iktibar kepada masyarakat.
-Bernama-

Tiada ulasan: