"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Restoran di Kota Baru diharam sediakan shisha

KOTA BARU, 22 Feb: Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) melarang kedai-kedai makan dan restoran menyediakan shisha untuk menarik pelanggannya meskipun Majlis Fatwa Kebangsaan belum mengeluarkan hukum mengenai pengharaman penggunaannya.
Setiausaha MPKB, Mohd Anis Hussein berkata peraturan itu tertakluk di bawah Undang-Undang Kecil MPKB.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan memperhebatkan gerakan membanteras penyediaan shisha di tempat-tempat berkenaan.
“Kita tetap tidak benarkan mana-mana restoran dan kedai makan di kawasan MPKB menyediakan shisha kepada pelanggan-pelanggannya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas rungutan sesetengah pihak yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa itu menjalankan operasi merampas peralatan itu di restoran sejak kebelakangan ini.
Laporan Agensi Antitembakau Perancis (OFT) yang memetik penyelidikan sebuah makmal Kebangsaannya baru-baru ini menyebut shisha melepaskan gas karbon monoksida yang sama banyak dengan menghisap sebanyak 52 batang rokok.
Menghisap shisha dikatakan lebih berbahaya daripada menghisap 102 batang rokok dan asap yang terhasil dari shisha merupakan sumber utama pencemaran udara di kawasan tertutup seperti restoran dan kafe.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata Majlis Fatwa Kebangsaan belum memutuskan lagi hukum penggunaan shisha di negara ini.
Katanya, pihak berkuasa agama Islam negeri ini belum membuat sebarang keputusan dan pendirian tentang hukum berhubung pengguna bahan itu.
“Oleh kerana isu penggunaan bahan itu melibatkan isu nasional, kita sedang menunggu keputusan mengenainya yang akan dibuat menerusi muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Ini untuk mengelakkan percanggahan pendapat yang boleh mengundang kekeliruan di kalangan umat Islam,” katanya.
Majlis Fatwa Kebangsaan turut dianggota semua mufti negeri, termasuk Kelantan.
-Bernama-

Tiada ulasan: