"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ganesan jangan ingat kuasanya terlalu besar

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 25 Feb: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim hari ini tetap kekal mempertahankan tindakannya untuk tidak hadir ke sesi soal jawab Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan demi untuk menjaga kesucian Dewan Negeri Perak.

Beliau menyatakan demikian sebagai merujuk kepada laporan muka hadapan akhbar Sinar Harian hari ini bertajuk Amaran Speaker berhubung isu bomoh masuk ke dewan negeri.

Di dalam laporan akhbar hari ini, Ganesan turut menyatakan bahawa sesi soal jawab itu akan tetap diteruskan pada jam 10 pagi ini di pejabatnya.

Mengulas amaran Ganesan bahawa tindakan tegas akan diambil jika gagal hadir, Khalil Idham yang juga Ketua Penerangan PAS Perak berkata, Ganesan tidak perlu membuat ugutan dan amaran seperti itu.

Ini, katanya kerana kedudukan Ganesan sebagai Speaker yang dipertikaikan wajar dikaji dengan serius kerana sepanjang sidang yang lepas dia sentiasa dan semudahnya melanggar undang-undang termasuk dalam kes usul kepada Khalil.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa usul untuk membawa saya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan adalah tidak sah dan terbatal dengan sendirinya kerana ianya tidak mengikut peraturan,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Khalil bimbang jika sekiranya Ganesan masih berada di kerusi Speaker sekarang, lebih banyak kesilapan yang akan berlaku akan terus mencemarkan Dewan Negeri Perak.

Beliau juga mencadangkan agar BN mengkaji balik kedudukan Ganesan sebagai Speaker Dun Perak.

"BN juga mesti mengkaji dengn serius kedudukan Datuk Ganesan kerana sepanjang sidang yang lepas dia sentiasa dan semudahnya melanggar undang-undang," katanya.

Dengan nada lebih keras, beliau mendesak Ganesan supaya meletakkan jawatan.

"Saya nasihatkan dia supaya segera berundur demi menjaga kesucian dewan dari terus dikendalikan oleh speaker yang tidak layak,” tegasnya.

Khalil Idham Lim turut mengingatkan Ganesan agar tidak terlalu angkuh dan sombong, terhadap kuasanya sebagai Speaker Dewan, kerana amaran dan ugutan seperti itu bukan menimbulkan kegerunan kepadanya dan Adun-Adun Pakatan Rakyat.

"Saya juga ingin tegaskan bahawa saya dan Adun PR lain bukan budak hingusan yang semudahnya boleh diugut oleh Ganesan,” katanya.

Tiada ulasan: