"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keluarga Tunggu Respons AG Tentukan Kes Sarbani

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed mahu melihat respons Peguam Negara berhubung laporan siasatan polis mengenai kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu bagi menentukan tindakan susulan pihaknya.

Peguam keluarga itu Ghazali Mohd Ramli berkata, sebarang tindakan lanjut bergantung pada keputusan Peguam Negara setelah menilai kertas siasatan yang akan diserahkan polis berhubung kematian Ahmad Sarbaini.

Ahmad Sarbaini ditemui meninggal dunia di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan pada 6 April lalu dan punca kematian adalah disebabkan kecederaan pada bahagian kepala.

“Tindakan sewajarnya akan diambil apabila diputuskan oleh pihak Peguam Negara berdasarkan laporan hasil siasatan polis.

“Setakat ini saya masih tidak boleh nak cakap apa-apa lagi, saya pun tidak tahu apa laporan itu... jadi kita tunggu keputusan Peguam Negara dulu,” kata Ghazali kepada The Malaysian Insider.

Jelas Ghazali, beliau tidak mahu memberikan apa-apa kenyataan bagi mengelakkan berlaku sebarang campur tangan dalam siasatan polis.

“Kita tidak tahu apa yang berlaku, apa yang kita tahu Allahyarham jatuh dari tempat tinggi tapi sebab apa dia jatuh kita tidak tahu.

“Apa yang kita tahu banyak spekulasi sahaja, kita tidak ada maklumat dan saya percaya polis tahu apa yang berlaku... apa-apa kita tunggu sahaja keputusan Peguam Negara,” kata beliau.

Kelmarin, polis berkata kematian Ahmad Sarbaini disebabkan kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan SPRM.

Justeru kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah, kini terserah kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan.

“(Dengan ini) saya minta semua spekulasi dihentikan kerana siasatan sudah dilengkapkan.

“Kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negeri minggu ini atau paling lewat minggu depan,” katanya.

Kata beliau, siasatan menunjukkan ia adalah kematian mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat buat masa sekarang.

Zulkifli juga berkata punca kematian ditentukan selepas siasatan terperinci membabitkan pelbagai pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Kimia.
-tvsnews-

Tiada ulasan: