"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Presiden KIMMA dicabar dedah individu tawar RM55 juta


PULAU PINANG: KEADILAN Jelutong hari ini mencabar Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Syed Ibrahim Kader supaya mendedahkan individu yang didakwanya pernah menawarkan RM55 juta kepada beliau untuk membawa kongres itu beralih arah menyokong pembangkang, semalam.
Setiausaha KEADILAN Cabang Jelutong, Khairil Anuar Kamarudin dalam kenyataanya berkata, Syed Ibrahim perlu tampil ke depan sekiranya perkara yang dinyatakannya benar dan beliau perlu menjawab beberapa persoalan.
“Jika benar beliau jujur dan ikhlas seperti yang diungkapkan, beliau perlu tampil ke depan menjawab tiga perkara berikut.
“Dedahkan kepada rakyat siapa individu yang didakwa menawarkan imbuhan RM 55 juta kepadanya. Dedahkan kepada rakyat siapa individu yang menawarkan jawatan-jawatan penting dalam Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) kepada Pengerusi Kimma Negeri di negeri yang dipimpin PR iaitu Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan,” katanya Khairil Anuar.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoal tindakan Syed Ibrahim yang baru sekarang mahu mendedahkan perkara itu selain meragui tindakan tersebut.
“Jika benar dakwaan ini, mengapa beliau mengambil masa yang lama setelah beberapa tahun untuk tampil mendedahkan perkara ini. Apakah ada sesuatu yang tersirat disebalik pendedahan ini?” soal Khairil.
Selain itu, beliau juga menasihatkan Syed Ibrahim supaya sedar bahawa Kimma tidak pernah diktiraf  pada zaman pemerintahan Tun Mahathir Mohamad dan kini hanya dijadikan alat ekoran BN semakin tenat.
“Jangan berpolitik seperti “gasing tiada paku” kerana ia akan merugikan beliau dan KIMMA itu sendiri. Jangan biarkan diri sendiri dan KIMMA diperalatkan Umno-BN demi kepentingan politik sempit mereka.
“Beliau juga harus sedar bahawa pada zaman pemerintahan Tun Mahathir Kimma tidak diktiraf sebagai parti komponen BN. Tetapi sekarang apabila Umno BN berada dalam keadaan yang tenat, KIMMA diterima dan diberi kelulusan permit untuk membawa masuk pekerja asing dari India dan Bangladesh,” ujarnya.
Dilaporkan, Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Syed Ibrahim Kader mendakwa kononnya Pakatan Rakyat pernah menawarkan RM55 juta kepada beliau untuk membawa kongres itu beralih arah menyokong Pakatan Rakyat.
Beberapa tahun lalu, katanya, beliau dihubungi seorang pemimpin pembangkang yang menawarkan imbuhan tersebut supaya berpaling tadah.

Tiada ulasan: