"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pasukan keselamatan untuk tindas rakyat?

Mohammad Sabu
Tujuan utama membina kekuatan pasukan keselamatan dan ketenteraan bukanlah persediaan untuk menghadapi peperangan. Bukan juga tujuan saya untuk menggalakkan, apatah lagi suka kepada peperangan. Saya hany a sekadar membuat perbandingan kelakuan dan sifat negara Eropah Barat, Amerika Syarikat, Jepun dan negara-negara yang memperluaskan jajahan kekuasaan dibanding dengan negara dunia ketiga, khasnya negara umat Islam.

Ke mana kekuatan dan pembinaan kekuatan pasukan keselamatan dan ketenteraan diguna dan dihalakan. Kebanyakan negara dunia ketiga dan dunia Islam, segala kekuatanpasukan keselamatan digunakan untuk mempertahankan regim yang berkuasa, sekali gus bermusuh dengan rakyat  sendiri.

Shah Iran misalnya memang amat rapat dengan Amerika  dan Israel. Iran menjadi pembekal minyak utama kepada Israel sebelum peralihan kuasa kepada Khomeini, 1979.Pembinaan peralatan dan kekuatan pasukan keselamatan terutama polis Savak, digunakan untuk menindas rakyat sendiri.

Setelah ribuan merengkok dalam penjara, polis Savak Iran melakukan segala bentuk penyeksaaan terhadap rakyat yang tidak sebulu dengan pemerintah. Kemuncaknya adalah pembunuhan beramai-ramai di jalan raya pada peristiwa Black Friday, 1978. Lebih 4,000 pelajar dan rakyat tidak bersenjata dibunuh.

Apa alasan pun hendak diberi, tetapi kekuatan pasukan keselamatan Indonesia digunakan untuk memerangi rakyat sendiri di Aceh, dan ia adalah satu kesilapan sejarah. ABRI yang begitu hebat  digunakan pemerintah untuk  melindungi regim Suharto, daripada mempertahankan kedaulatan negara dan memerangi musuh. Puluhan ribu rakyat terkorban di atas kerakusan regim yang berkuasa.

Saddam Husein juga terkenal dengan kediktatorannya. Namun, kekerasan kuasanya digunakan terhadap siapa? Kekuatan ketenteraan dan polis rahsianya digunakan untuk memerangi rakyat sendiri. Pembunuhan terhadap musuh politiknya seperti Baqir al-Sadr, Baitul Huda dan ribuan nama lainnya. Kemuncak tanda kekuasaan dan kekuatan ketenteraan apabila bom kimia digunakan untuk membunuh rakyat sendiri di Halabja.

Apa pun alasan hendak diberi, pasukan keselamatan Syria di bawah pimpinan Hafiz al-Assad  bertindak membunuh belasan ribu penduduk di Hama dan Aleppo. Kebangkitan rakyat pimpinan Ikhwanul  Muslimin dihadapkan dengan kekuatan ketenteraan dan pasukan keselamatan. Kekuatan ketenteraaan Syria digunakan untuk mempertahankan regim Ba'ath Hafiz al-Assad daripada melindungi rakyat.

Ratusan bilion dolar dibelanjakan  kerajaan Saudi untuk pertahanan dan keselamatan. Kita tidak tahu segala peralatan dan kekuatan ketenteraan Saudi digunakan untuk tujuan apa? Ketika Amerika mengalami kemerosotan ekonomi, tiba-tiba kita dengar  kerajaan Saudi menempah senjata lebih USD60 billon daripada Amerika. Pembelian senjata ini tidak lain dilihat sebagai usaha untuk memulihkan ekonomi Amerika dan industi senjatanya.

Kita tidak mendengar senjata Saudi dihantar membantu Hezbollah, Hamas, dan gerakan jihad di Lubnan dan Palestin untuk memerangi Israel yang menjadi musuh kemanusiaan dan musuh Islam. Kekuatan tentera Saudi digunakan untuk melanyak rakyat yang tidak bersenjata di negaranya sendiri dan di Bahrain.

Sudah tentu kekuatan pasukan keselamtan dan ketenteraan bukan digunakan untuk melindungi rakyat sebaliknya digunakan untuk melindungi regim yang berkuasa. Kekuatan ketenteraan negara Teluk yang beraja adalah sama sahaja, sama ada Saudi, Kuwait, UAE,  Bahrain, Qatar, iaitu digunakan untuk melindungi regim, bukannya melindungi rakyat. Bahkan tentera Amerika diizinkan untuk membuka pangkalan juga digunakan untuk melidungi regim, bukan melindungi rakyat.

Kekuatan pasukan keselamatan Mesir terutama 'mukhabarat' (polis rahsia) bukan untuk menggerunkan musuh Islam atau musuh negara, sebaliknya amat menggerunkan rakyat. Mereka yang tidak sealiran dengan pemerintah sentiasa menunggu rumah diketuk untuk dipanggil (dijemput) ke penjara. Pasukan keselamatan khasnya polis digunakan sepenuhnya untuk melindungi regim Hosni Mubarak daripada memerangi musuh Islam dan musuh kemanusiaan, Israel.

Saya akan terus menulis sifat dan sikap negara-negara Islam terutama selepas Perang Dunia Kedua apabila  kekuatan pasukan keselamatannya diguna untuk memerangi rakyat sendiri dan bukan digunakan untuk memerangi musuh, seperti Amerika, Britain, Jerman, Belanda, Jepun dan lain-lain. Sampai bila negara orang Islam akan berada dalam situasi primitif ini?

Tiada ulasan: