"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UUM Hantar Permohonan Rebet Cukai Tanah Hari Ini...macam tu la Prof!

Muhammad Sanusi Md Nor
Hari ini, selepas 3 hari menghentam dan memprovok pihak Menteri dan Timbalan Menteri serta beberapa pemipin UMNO/BN menyerang Kerajaan Negeri yang dituduh menaikkan cukai tanah UUM 10 kali ganda, pihak pentadbiran UUM menghantar surat memohon rebet cukai tanahnya selama 5 tahun.

Serangan dan kutukan yang dari Kuala Lumpur dan dalam Kedah sendiri terhadap Kerajaan Negeri menyebabkan pihak kerajaan negeri membuat sidang media menjelaskan perkara sebenar.  

Selepas membuat penjelasan bahawa fakta yang diberikan oleh UUM daN pihak-pihak yang bersimpati dengan UUM itu adalah salah, maka mereka tiada pilihan lain selain membuat permohonan baru.

Sidang akhbar Menteri Besar yang diiringi oleh Dato' Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG)dan CEO SADA yang turut disiarkan di beberapa akhbar hari ini. (posting sblm ini).

Kita tunggu tengok apa reaksi dari PTG kali ini setelah mencadangkan permohonan menyambung rebet pada 2009 ditolak oleh Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri.

 

Petikan Dari Sinar Harian
 
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri bersedia menimbangkan semula permohonan rebat cukai tanah daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), sekiranya universiti itu berhasrat untuk membuat permohonan baru.

            Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pihaknya menerima permohonan UUM untuk menyambung semula rebat pada Jun 2009, namun permohonan itu ditolak pada November 2009 setelah pihaknya merujuk kes terbabit kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

            "UUM ada menulis surat mohon sambung rebat cukai tanah, tetapi setelah dibincangkan dalam mesyuarat Exco, permohonan itu tidak berjaya. Jika UUM bercadang buat permohonan semula, kita sedia timbang," katanya pada sidang media, di Wisma Darul Aman, semalam.

            Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Air Darul Aman (Sada), Datuk Adzmi Din dan Pengarah PTG, Muhamad Nor Rofie. Azizan berkata, setiap tahun Kerajaan Negeri menerima RM31 juta bayaran cukai tanah daripada Kerajaan Persekutuan, merangkumi pelbagai bangunan milik Persekutuan, termasuk UUM.

            "Keluasan tanah milik UUM adalah 2155.2 ekar dan cukai yang perlu dibayar oleh Kementerian Pengajian Tinggi ialah RM1,743,745 setahun atau 20 sen bagi satu meter persegi," katanya.

            Namun setelah Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) ketika itu memberikan rebat selama dua tahun, iaitu 2006 hingga 2008, UUM hanya perlu melunaskan cukai tanah sebanyak RM100,000. 

         "Tindakan itu menyebabkan kita kerugian RM1.6 juta namun kita akur. Kali ini mereka pula kena akur sebab tempoh rebat sudah tamat. Kenalah bayar nilai asal iaitu RM1.7 juta," katanya.

            Azizan berkata, pihaknya sentiasa membuka ruang untuk perbincangan namun kesal kerana pengurusan UUM tidak bersemuka dengannya untuk mencapai kata sepakat, sebaliknya membuat kenyataan tidak tepat pada media.

"Mereka boleh datang bincang dan kita boleh bertolak ansur dalam hal ini, antaranya menawarkan bayaran ansuran dan sebagainya. Sejak dua tahun lalu, mereka boleh bayar tetapi sekarang kecoh pula," katanya.

            Azizan berkata, cukai tanah di Kedah adalah terendah setelah Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah memperkenalkan dasar baru penurunan cukai tanah antara 35 hingga 75 peratus sejak tiga tahun lalu.

            "Sejak dasar baru cukai tanah diperkenalkan, Kerajaan Negeri hilang hasil tanah sebanyak RM50 juta. Tak kan pula selepas tiga tahun, nak naikkan pula. Saya harap pihak terbabit faham istilah mengekalkan atau menaikkan cukai tanah kerana fakta awal tak tepat," katanya.

            Mengulas mengenai masalah bekalan air di UUM, Azizan berkata, UUM perlu mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pengajian Tinggi supaya menaik taraf kemudahan infrastruktur bekalan air dalam kawasan UUM, seperti tangki dan paip kerana tidak lagi sesuai digunakan masa kini.

            "Pertambahan penduduk mencecah 30,000, mana boleh guna infrastruktur lama. Kementerian kena naik taraf kemudahan dalam kawasan UUM kerana bukan bawah bidang kuasa kita. Saya minta mereka contohi UKM, yang membelanjakan lebih RM1 juta untuk menaik taraf kemudahan bekalan air," katanya

            Menurutnya, Sada membekalkan 15 juta liter air ke kawasan berkenaan bagi keperluan harian dan sekiranya infrastruktur dinaik taraf, masalah bekalan air akan dapat diatasi.

            "Loji Padang Sanai juga sudah beroperasi berkapasiti 100 juta liter, namun Tenaga Nasional Berhad (TNB) gagal menyalurkan bekalan elektrik menyebabkan operasi terganggu. Saya harap TNB dapat atasi segera kerana kita sedang mempertingkatkan kualiti perkhidmatan," katanya.

            Kelmarin, Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak menyifatkan kenaikan 10 kali ganda cukai tanah oleh Kerajaan Negeri membebankan kerana terpaksa membayar hampir RM1.8 juta.

            Menurutnya, UUM turut berdepan masalah bekalan air dan terpaksa memperuntukkan RM80,000 sebulan bagi kos penghantaran lori air.

Nota: Petang ini, 20 april 2011, UUM telah menghantar surat kepada YAB Menteri Besar untuk memohon rebet cukai tanah selama 5 tahun...kalau tuan-tuan jadi Pengarah PTG, apa cadangan tuan kepada MB???
 

Tiada ulasan: