"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiada Arahan Naikkan Cukai Tanah UUM - Azizan

ALOR SETAR 19 APRIL: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan kerajaan pimpinannya menaikkan kadar cukai tanah 10 kali ganda terhadap Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sebaliknya beliau berkata, dakwaan yang dibuat Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Naib Canselor UUM Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak itu tidak berlandaskan fakta yang betul.

Azizan berkata kerajaan negeri terdahulu UMNO BN memberikan rebat cukai selama 3 tahun, kepada UUM yang membolehkan IPTA itu membayar cukai dengan kadar RM100'000 setahun.

"UUM diberikan rebat dari Januari 2006 hingga Disember 2008 - perlu bayar RM100,000 dari RM1.7 juta," katanya.

Sebaik sahaja tempoh rebat itu tamat, UUM terpaksa membayar kadar cukai itu mengikut apa yang telah ditetapkan UMNO BN sebanyak RM1.7 juta setahun.

Sebaik sahaja Pakatan Rakyat mengambilalih pentadbiran Kedah, gagasan itu sekadar meneruskan apa yang diwariskan dari zaman pemerintahan UMNO BN.

Azizan menjelaskan pemberian rebat cukai tanah kepada UUM, kerajaan negeri kerugian hampir RM1.6 juta setahun.

Azizan menambah, UUM pernah memohon agar kerajaan negeri menyambung rebat cukai itu disambung namun permohonan mereka ditolak.


Beliau berkata UUM boleh membuat rayuan, namun rayuan itu perlu dipertimbangkan terlebih dahulu.

"Tidak semestinya kita akan luluskan permohonan UUM," katanya lagi.

Azizan juga berkata UUM juga telah diberi beberapa pilihan dalam membuat pembayaran cukai tesebut.

UUM juga diberi pilihan untuk berunding dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mengenai bayaran ansuran.

Kerajaan negeri dibawah pimpinannya telah menurunkan cukai tanah- tanah milik kerajaan antara 35 peratus hingga 75 peratus.

Untuk tujuan itu, kerajaan negeri kehilangan hasil tanah sebanyak RM50 juta setahun.

Mengulas isu bekalan air yang tidak mencukupi di UUM, Azizan menasihatkan UUM dan Kementerian Pengajian Tinggi meningkatkan kemudahan sistem perairan seperti tangki dan paip air kerana kerajaan negeri telah menyiapkan paip besar di luar kampus tersebut yang boleh menampung sehingga ke Bukit Kayu Hitam.

Azizan berkata setiap hari Syarikat Air Darul Aman (Sada) menyalurkan bekalan air ke UUM sebanyak 15 juta liter sedangkan bekalan air dikawasan lain lima dan 10 juta liter sahaja.
-tvsnews-

Tiada ulasan: