"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anggota polis iringi samseng ugut Orang Asli

Khairil Abdul Rahim
TEMERLOH, 7 Julai: Seorang penduduk Orang Asli dari Kampung Paya Mengkuang dekat sini, hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kerana mendakwa disogok oleh penceroboh tanah miliknya supaya ‘menutup mulut’.
Juri a/l Husin, 29, membuat laporan tersebut berikutan rasa tersinggung seolah-olah beliau tidak ada maruah dan boleh dijual beli sedangkan pencerobohan oleh individu berkenaan melibatkan tanah adat mereka yang sepatutnya dipertahankan.

Dalam laporannya, Juri berkata awal minggu lalu beliau telah mendapati tanah adat dan tanah pusaka miliknya diceroboh oleh seorang pemimpin Umno tempatan dengan cara menggunakan jentolak sehingga memusnahkan pokok getah dan kubur nenek moyangnya di atas tanah tersebut.

“Pada Ahad lalu saya dan rakan-rakan sekampung telah pergi ke tanah tersebut bersama-sama dengan peguam dan wartawan menunjukkan kesan pencerobohan itu.

“Tetapi petang kelmarin, ketika balik ke rumah emak saya memberitahu ada dua orang lelaki datang. Seorang dikenali dengan Din Kerbau dan seorang lagi anggota polis, telah memberi amaran supaya saya tidak menghebahkan hal tanah adat yang diceroboh itu jika tidak mahu ditahan polis sedangkan saya ada anak,” katanya ketika ditemui di luar pejabat SPRM Cawangan Temerloh, di sini.

Tambahnya, Din selepas itu memberikan wang RM1,000 melalui emaknya supaya beliau menutup mulut dan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap pencerobohan tanah adat Orang Asli.

“Saya tidak puas hati kerana merasakan wang tersebut adalah sogokan dan sebelum itu ada ugutan supaya saya berdiam diri daripada mempertahankan tanah saya sendiri. Bagi saya ini satu penghinaan seolah-olah kami tidak ada maruah dan boleh dibeli dengan harga murah,” ujarnya.

Menurut Juri, di kampung Paya Mengkuang terdapat 643 orang penduduk dengan 153 keluarga Orang Asli dari suku Jahut.

Katanya, nenek moyang mereka telah tinggal di sini sejak sebelum bah besar tahun 1926 lagi.

Seorang aktivis Orang Asli Roman a/l Achai yang turut hadir memberi sokongan kepada Juri, menyalahkan kerajaan negeri kerana enggan menggazetkan rizab Orang Asli sehingga banyak tanah adat mereka sudah terlepas ke tangan orang lain.

Kata Roman, untuk tanah yang didakwa kawasan rayau Orang Asli di Paya Mengkuang sudah enam tahun diceroboh sehingga keluasan asal 1,870 ekar kini sudah kurang daripada 1,000 ekar yang tinggal.

Difahamkan tanah tersebut diserahkan kepada 40 orang peserta, dari Desa Murni Sanggang untuk Tanam Semula Kelompok (TSK) tetapi tidak ada seorang pun daripada kalangan Orang Asli di situ.

“Kami pernah hantar memorandum kepada kerajaan dalam hal rizab Orang Asli tetapi tidak ada susulan walaupun kerajaan janji nak selesaikan. Kami dah pernah bincang dengan wakil rakyat sini dan menteri tetapi dengan Menteri Besar belum lagi.

“Dulu Orang Asli berpindah randah, sebab itu adat resam mereka. Sekarang dah tinggal setempat. Jika jalan, hutan, sungai tanah Melayu semuanya ada rizab jadi kami Orang Asli mahukan tanah rizab kami juga. Kami hanya mahu pertahan hak kami bukannya kami minta hak orang lain.

“Tanah adalah nyawa kami, tanpa tanah kami tak boleh hidup. Semua Orang Asli di sini hidup dengan tanaman yang ada, tidak ada sumber lain. Jika sumber ini dah hilang ke mana lagi Orang Asli nak pergi?” soalnya.

Tambah Roman, kini Orang Asli sudah sedar hak mereka.

Jika isu lapuk Orang Asli sudah setengah abad masih tidak boleh diselesaikan, nampaknya terpaksa selesai dengan menukar kerajaan.

Tiada ulasan: