"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak maafkan Arnold Schwarzenegger

KELUARGANYA mungkin porak-peranda ekoran kecurangan dilakukan, tetapi bagi Katherine Schwarzenegger, kesalahan itu bukanlah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.

Justeru, beberapa hari lalu Katherine dilihat meluangkan masa menikmati makan tengah hari bersama bapanya, bekas gabenor California, Arnold Schwarzenegger.
Katherine, 21, bertemu legenda Hollywood itu di Beverly Hills dan dilihat meninggalkan Cafe Roma yang menjadi tempat mereka makan dengan wajah tersenyum.

Bagaimanapun, pasangan anak-beranak itu berlalu menaiki kenderaan berasingan.

Tempat itu juga menjadi lokasi lazim bagi Schwarzenegger bertemu anak lelakinya, Patrick.

Bulan lalu, Katherine membuat penegasan terbuka bahawa skandal pelakon Terminator itu bukanlah alasan untuknya memutuskan hubungan secara mutlak.

Melalui Twitter, Katherine menulis: “Kadang-kadang kita memaafkan seseorang kerana kita mahukan dia kembali dalam hidup kita.”

Pada ketika lain, Katherine menulis: “Menyimpan dendam tidak baik untuk kesihatan. Maafkan dan biarkan ia berlalu. Ia juga tidak bermakna jika anda terus memikirkannya.”

Kata Katherine, setiap sesuatu yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

“Paling sukar ialah untuk kita mencari mengapa ia berlaku,” katanya.

Mei lalu, Schwarzenegger, 63, dikaitkan dengan hubungan terlarang bersama pembantu rumahnya, Mildred Baena, sehingga menyebabkan wanita terbabit melahirkan anak luar nikah 13 tahun lalu.

Selepas kecurangan itu terdedah, Schwarzenegger dan isterinya, Maria Shriver, mengambil keputusan berpisah selepas 25 tahun berumah tangga.

Hasil perkahwinan Schwarzenegger - Maria, mereka dikurniakan empat anak.

Sementara itu, adik Katherine, Patrick, 17, juga berkunjung ke Beverly Hills, untuk ke salun milik pakar fesyen rambut, Giuseppe Franco.

Patrick menghabiskan masa bertemu dengan Giuseppe yang turut menggunakan bahan antibotak.

Giuseppe pernah diundi sebagai satu daripada tiga pereka fesyen rambut terbaik dunia dan turut pernah memberikan khidmatnya untuk Schwarzenegger.

Selain Schwarzenegger, selebriti yang pernah mendapatkan kepakaran Giuseppe ialah pelakon Ashton Kutcher, Sharon Stone, Mickey Rourke, Sylvester Stallone dan Michael Douglas.

Ketika Katherine menikmati makan tengah hari bersama Schwarzenegger, Giuseppe juga dilihat menyertai mereka dan dipercayai memberikan khidmat nasihat kepada mereka untuk menguruskan rambut masing-masing.

Selain Patrick, Katherine mempunyai dua lagi adik, Christina, 19, dan Christopher, 13.

Schwarzenegger didapati menjadi bapa kepada anak lelaki Mildred, Joseph, tetapi hubungan sulit mereka berjaya disembunyikan lebih 10 tahun.

Akhbar New York Post melaporkan, Schwarzenegger begitu mengambil berat mengenai hidup anak luar nikahnya.

Selain memanjakan Joseph dengan pelbagai hadiah mahal, Schwarzenegger pernah membawanya menikmati percutian dengan keluarganya.

Tidak cukup dengan itu, Schwarzenegger juga membiayai wang pendahuluan - bernilai RM197,500 - untuk keluarga Mildred membeli rumah di Bakersfield, California, tahun lalu.

Beberapa hari selepas skandal Schwarzenegger didedahkan di media, aktres Jane Seymour dilaporkan mendakwa aktor terbabit juga mempunyai sekurang-kurangnya dua lagi anak luar nikah yang masih disembunyikan.

Walaupun berpisah, ada sumber berkata, Schwarzenegger cuba memujuk semula Maria dan memulihkan hubungan mereka.

Sebuah laman sesawang pula melaporkan, Schwarzenegger “mencuba apa saja” bagi membina semula rumah tangganya dengan Maria.
-hmetro-

Tiada ulasan: