"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bob Lokman enggan hadir siasatan JAIS

 
Pelakon, pengacara dan penulis lirik terkenal Bob Lokman berkeras tidak akan hadir memberikan keterangan pada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menahannya kerana menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.

"Buat apa saya hendak hadir, tidak ada kepentingan untuk Islam," katanya yang kini bergiat aktif bersama parti Islam PAS.

Penulis lirik berhantu "Isabella" itu berkata, ekoran pendiriannya itu, beliau sanggup menghadapi sebarang tindakan, termasuk kemungkinan menghadapi waran tangkap daripada mahkamah.

"Nak tangkap, tangkaplah. Saya tidak akan hadir. Sifat (JAIS) begini bukan hendak jaga keharmonian agama," katanya sambil memberitahu hanya berserah pada Allah.

Pengarah JAIS Marzuki Hussin hari ini dilaporkan berkata, jabatan itu akan memohon waran tangkap terhadap Bob yang disifatkannya "berdegil" tidak hadir memberikan keterangan setelah diarahkan berbuat demikian pada 11 Oktober.

Kegagalan itu membolehkannya dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah Syariah Selangor, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

'Tunjuk kuasa'

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Bob mendakwa penahanannya di Masjid Kampung Sungai Lui, Hulu Langat pada 10 Oktober lalu hanya "menunjukkan kuasa" dan tidak boleh diterima.

Malah, dakwanya, terhadap juga seorang pegawai agama yang terlibat dalam serbuan itu turut membuat provokasi terhadapnya dengan "menghina" dan "mengejek" penyokong PAS.

Ditanya tindakan lanjutkan ekoran perkembangan terkini itu, Bob berkata beliau hanya "tunggu dan lihat" dan belum melantik mana-mana peguam untuk membantunya.

"Saya tidak ada duit hendak lantik peguam," tambahnya lagi.

Bob atau nama sebenarnya Muhammad Hakim Lokman, 47, ditahan bawah Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Februari lalu, Bob mengejutkan banyak pihak dengan berkempen membantu calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Merlimau dan Kerdau dan terus aktif berceramah dengan pembangkang.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: