Hubungan antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan ADUN dan ahli parlimen PKR dilaporkan semakin rapuh sehingga ada kumpulan wakil rakyat parti itu mendesak pimpinan parti supaya memecat Menteri Besar Selangor itu.
Portal berita AntaraPos.com melaporkan, ketua umum parti Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah, akur dengan desakan itu dan telah meminta supaya isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden parti melaksanakan tuntutan pimpinan itu.
Bagaiamanapun, difahamkan Wan Azizah enggan berbuat demikian. Tindakan beliau itu sehingga menimbulkan keresahan di kalangan wakil rakyat berkenaan yang semakin tidak berpuas hati dengan prestasi Khalid.
Memetik beberapa sumber dalaman, AntaraPos.com melaporkan kemelut berkenaan telah mencetuskan krisis dalaman parti yang memberi kesan kepada bukan sahaja PKR tetapi juga Pakatan Rakyat.
Ini juga dikatakan sedang menghakis peluang gagasan itu untuk mengekalkan kuasa di Selangor pada pilihanraya umum akan datang.
Rungutan utama wakil rakyat PKR terhadap Khalid adalah bahawa prestasi kepemimpinan PKR di Selangor tertinggal jauh berbanding dengan kerajaan negeri pimpinan DAP di Pulau Pinang.
Keghairahan Khalid
Keghairahan Khalid
Manakala di Kelantan dan Kedah, kerajaan negeri pimpinan PAS bergerak atas landasan sama dengan telunjuk parti dan memastikan dasar-dasar PAS dilaksanakan di peringkat negeri.
"Apa yang jelas di Selangor ialah keghairahan Khalid mengumumkan program-program rakyat dengan begitu gah namun pelaksanaan ibarat melepaskan batuk di tangga sepanjang tiga tahun yang lepas," kata sumber-sumber dalaman parti.
Contohnya program seperti Skim Mikrokredit yang dibeban dengan birokasi keterlaluan untuk mendapatkan kelulusan, manakala tahap pelaksanaan projek pembersihan Sungai Klang yang dalam program memacu ekonomi Selangor bernilai RM60 bilion masih jauh daripada memuaskan walaupun ia diumum hampir tiga tahun lalu.
Sebaliknya, Khalid memberi tumpuan kepada “projek-projek remeh yang jelas tidak mendatangkan sebarang kesan jangka panjang untuk kebaikan penduduk Selangor tetapi hanya sekadar untuk meraih populariti," tambah sumber itu.
Menurut sumber itu lagi, pada Mei lalu, wakil rakyat PKR mengemukakan memorandum kepada Anwar meminta beliau memecat Khalid sebagai menteri besar demi memelihara kedudukan PKR sebagai paksi Pakatan Rakyat, khususnya di Selangor.
Singkir MB
Memorandum itu disampaikan kepada Anwar pada Kongres Pilihanraya PKR. Difahamkan bahawa apabila menyedari perkara itu, Khalid bergegas meninggalkan kongres berkenaan sebagai tanda protes.
Susulan memorandum itu, ahli-ahli Majlis Pimpinan Pusat dan Biro Politik PKR turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan prestasi Khalid, baik sumbangannya kepada parti atau pun selaku Menteri Besar.
Mereka juga merujuk kepada tindakan Khalid untuk mencantas beberapa program kemasyarakatan yang diatur oleh parti tetapi meluluskan program-program di peringkat negeri yang berupaya meningkatkan populariti beliau secara peribadi.
Kata sumber itu lagi yang dipetik AntaraPos.com, sebagai respon kepada rungutan dan memorandum itu, Anwar selaku ketua umum PKR meminta Wan Azizah selaku presiden untuk melaksanakan ketetapan yang diambil oleh Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat bagi menyingkir Khalid.
Penyingkiran itu memerlukan PKR mendapat persetujuan daripada DAP dan PAS sebelum menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan usul berkenaan selain mengemukakan calon MB baru.
Dalang
Bagaimanapun usul itu dikatakan "mati begitu saja" di tangan Wan Azizah yang bertegas mahu mengekalkan Khalid walaupun membelakangi mandat Majlis tertinggi PKR dan suaminya sendiri.
Sumber-sumber juga memberitahu keputusan Wan Azizah untuk menempelak kehendak wakil-wakil rakyat parti, didalangi oleh Faekah Husin (kiri), setiausaha politik Khalid yang sebelum ini menjadi pegawai khas presiden PKR itu.
Walaupun berpejabat di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Faekah masih bertindak penasihat utama Wan Azizah, malah banyak menghabiskan waktu untuk urusan Presiden PKR. "PKR kini berdepan dengan masalah dalaman yang amat serius kerana ia membabitkan tiga personaliti tertinggi iaitu Anwar, isterinya dan Khalid," kata sumber itu.
"Wakil rakyat dan akar umbi yang mengetahui masalah ini kini menunggu untuk melihat apakah langkah seterusnya Anwar - sama ada bertegas untuk memaksa Khalid berundur atau tunduk kepada kemahuan isterinya yng jelas dipengaruhi oleh orang kanan Khalid.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan