AntiKarat
Setelah mencanai segala keanehan isu pencerobohan Lahad Datu dan disusuli kenyataan Pengerusi SPR yang membayangkan PRU13 di Sabah boleh ditangguhkan sekiranya Sabah diisytihar darurat, maka hati ini tidak lagi boleh menolak kemungkinan bahawa pencerobohan Lahad Datu adalah merupa salah satu episod dalam satu skrip yang telah dirancangkan.
Kita tak boleh menuduh kepada PM kerana kita tiada bukti. Kita tak boleh menuduh kepada Menteri Dalam Negeri atau Menteri Pertahanan malah SPR kerana kita tiada bukti. Lainlah kalau ada seseorang yang mendedahkan konspirasi tersebut, andaikata itu satu konspirasi peringkat tertinggi.
Namun, manusia ada hati dan minda. Bagai seorang bapa yang tengok anaknya asyik mengelamun dan berhias diri setiap kali keluar rumah, tentu di hati sang bapa akan berkata, “lain macam saja anakku sejak akhir-akhir ini”. Ibu bapa kuat nalurinya. Cuma bukti belum cukup untuk mengaitkan anaknya dengan alam berpacaran. Apabila terserempak dengan si anak dengan lelaki idaman, barulah sah apa yang disyaki selama ini.
Begitulah pula, isu Lahad Datu ini. Berlakunya di saat hampir benar Parlimen terbubar dengan sendirinya. Tak berani PM Najib membubarkannya seperti amalan PM-PM terdahulu. Kalau ikut pada cakap berdegar beliau, tak sempat Rosmah bangun tidur hendak diuar-uarkan pembubaran Perlimen. Kepakaran polis ialah melihat raut wajah dan riak mata seseorang untuk mengetahui sesuatu yang tak kena. Rakyat juga boleh melihat raut wajah dan riak mata PM Najib ketika melaungkan keyakinan BN akan terus berkuasa. Najib….Najib.
Episod petama, warganegara dua IC ‘masuk menceroboh’ tanah air. Episod kedua, serang dan perang. Episod ketiga, SPR beri bunga-bunga kemungkinan yang tak diinginkan. Episod keempat, Parlimen dibubarkan dan diadakan PRU13 kecuali bagi Sabah yang tergugat. Episod kelima, keputusan pilihanraya diumumkan satu demi satu. Episod keenam , ada dua kemungkinan lagi, kalau BN menang agak selesa, pilihanraya di Sabah akan diadakan untuk mengesahkan kemenangan. Kalau PR menang, keputusan tergantung kerana Sabah masih tak selamat.
Penulis berhadap monolog tersebut tidak benar dan tidak akan berlaku. Demokrasi mesti diteruskan. Nasib rakyat tidak wajar diperjudikan. Dosa-dosa pemimpin tidak wajar dibawa berkongsi dengan rakyat. Rakyat pula tidak cerdik untuk menjadi rakan kongsi ketakutan pemimpin. Rakyat mesti berjiwa merdeka. Rakyat hari ini adalah penentu nasib generasi anak-anak yang masih kecil. Anak cucu kita mesti diamanahkan kepada sebuah kerajaan yang ikhlas menjaga agama; bukan yang pandai berlakon dengan kalimah Allah, sebuah kerajaan yang telus dalam menjaga kepentingan rakyat; bukan yang pelahap menimbun kekayaan dalam kroni.
Masing-masing jangan berdegar-degar mempertahankan kebatilan hanya kerana takut kepentingan perut sendiri terancam. Ingatlah nasib anak-anak kita pada dekad-dekad mendatang. Mungkin suatu hari nanti anak kita pula melahirkan bayi secara haram lalu dihumban ke dalam longkang. Mungkin kita pula merana dan didera kerana anak menjadi penagih durjana. Mungkin kita pula menjadi mangsa jenayah, ragut, rompak dan bunuh. Yang pasti maruah kita akan disembelih sebaik sahaja pihak yang berjanji mempertahan kuasa dengan darah berjaya meneruskan kesinambungannya. Ingat, kitalah yang menentukan nasib diri dan zuriat yang menjadi pewaris tanah air tercinta ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan