Ahmad Lutfi Othman
Ketua Polis Negara, Ismail Omar pada petang 5 Mac lalu mengakui misi menentang puak bersenjata Sulu yang menawan Kampung Tanduo, Lahad Datu, masih belum berakhir meskipun pasukan keselamatan, membabitkan angkatan tentera dan pihak polis, telah melancarkan serangan udara, bermula jam 7 pagi, Selasa lalu, menggunakan jet pejuang F-18 dan Hawks.
Sambil memberikan sokongan sepenuhnya ke atas sebarang langkah mempertahankan kedaulatan negara, terdetik kebimbangan di hati saya, apakah tindakan ofensif melibatkan tujuh batalion tentera itu mampu menyelesaikan kes yang sememangnya tidak ditangani secara profesional dan berkesan di peringkat mulanya?
Ataupun tragedi berdarah itu baru di peringkat permulaan, dan Sabah bakal menyaksikan lebih banyak adegan tragis berpanjangan, khususnya berdepan perang gerila. Namun begitu, lebih penting daripada segalanya adalah mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.
Walaupun Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada bukti bahawa Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) - yang dikatakan masih mempunyai simpanan senjata yang banyak di Sabah - akan menyertai tuntutan Kesultanan Sulu, namun kegusaran itu telah merebak.
Ketika maklumat cuba "diselaraskan" pihak berkuasa, masyarakat yang dahagakan informasi terkini lebih memilih media baru yang menyalurkan perkembangan langsung dari Filipina. Terbukti daripada beberapa insiden sebelum ini, banyak berita mengejutkan yang dihebohkan dalam internet dan cepat dinafikan pihak berkuasa, tetapi beberapa hari selepas itu terpaksa diakui benar dan sahih.
Rupanya kerisauan saya itu dikongsi oleh lebih ramai rakan-rakan, terutama apabila menyedari punca masalah ini bukan hanya berakar di seberang sempadan, malah turut difaktorkan oleh isu-isu tempatan, dan antara lain "Projek IC" yang ditimbulkan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) juga dibangkitkan. Bagaimana mudahnya warga jiran memperoleh kerakyatan hanya untuk "menyelesaikan" kemelut politik ketika itu.
"Apakah mungkin ada antara penceroboh itu yang sudah menjadi warga Malaysia, atau sekurang-kurangnya terdapat ramai anggota keluarga atau kerabat mereka yang sudah menetap lama di Sabah? Saya kira isu ini tidak mudah ditamatkan begitu saja, banyak implikasi yang terpaksa kita tanggung nanti," kata seorang rakan yang pernah bekerja di Kota Kinabalu.
Seorang wartawan veteran pula menyimpulkan: "Saya tidak suka menyalahkan pasukan keselamatan walaupun nampak ada masalah besar dalam perisikan kita. Kes ini jelas membuktikan kegagalan pimpinan politik untuk bertindak pantas, khususnya Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri."
Saya terpaksa akur dengan rumusan sahabat baik saya itu walaupun menyedari isu keselamatan - apatah lagi melibatkan kehilangan nyawa agak besar di pihak polis - tidak wajar dilihat dalam konteks politik yang sempit. Dalam saat-saat sukar ini seluruh negara harus bersatu serta memberi dokongan, manakala sentimen kepartian perlu dielakkan.
Namun begitu, bahang panas PRU13 tidak dapat menghalang orang ramai mengulas kes di Lahad Datu, Kunak dan Semporna itu menurut persepsi masing-masing, apatah lagi yang dilihat memulakan "polemik politik" ini ialah Najib Razak dan media Umno sendiri.
Ironinya, dalam suasana berkabung susulan kehilangan lapan wira negara, Perdana Menteri masih meneruskan Jelajah Janji Ditepati, di Perlis, pada 3 Mac. Ia sebenarnya merupakan kempen politik Umno-BN yang terancang dan menggunakan dana awam, dengan mood "pesta-pestaan" dan sarat dengan acara hiburan.
Lebih buruk apabila Najib, yang sepatutnya meletakkan dirinya pada kedudukan seorang negarawan, telah menggunakan pentas meraih populariti itu untuk menyerang pembangkang dengan mengekspolitasi kes di Sabah.
Saya bersetuju dengan pandangan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Perlis, Anuar Tahir: "PM sepatutnya menangguhkan segera program beliau dan turun sendiri meninjau keadaan di Sabah. Kalau di negara lain, pemimpin tertinggi negara akan memberikan tumpuan kepada isu keselamatan terlebih dahulu dan membatalkan program lain, sedangkan Najib lebih menumpukan program politik."
Tidak cukup dengan itu, di majlis perhimpunan perdana ulama-umara bersama Asnaf, pada 5 Mac, sekali lagi Najib turut mengulangi "kebebalannya", termasuk mengecam usaha pihak tertentu mahu "menukar regim" seumpama Arab Spring.
Beliau ternyata mahu bermain emosi apabila menghubungkan dakwaan sandiwara dengan situasi sedih-pilu balu dan anak-anak anggota keselamatan yang terkorban. Cuma, saya tidak pasti apakah istilah "tidak ada isi perut" yang diulang Najib di Arau dan Stadium Putra Bukit Jalil bermaksud "tidak ada hati perut"!
Apa pun, liputan TV3, bagi saya, cukup buruk dan sarat dengan motof jahat politik. Bayangkan, masih di tanah perkuburan, selesai upacara pemakaman, seorang anak pegawai polis yang terkorban telah ditanya perasaannya terhadap dakwaan sandiwara.
Melampau sekali kaedah pemberitaan seumpama itu. Di kala anggota keluarga masih terkejut dirundung kepedihan amat sangat, mereka diajukan persoalan yang boleh membangkitkan kemarahan, iaitu mengaitkan kematian orang tersayang dengan "sandiwara", sedangkan maksud Naib Presiden KeADILan, Tian Chua tiada kaitan langsung dengan pembunuhan perajurit negara itu.
Sejak awal banyak pihak mengesan siri kepelikan dan keanehan yang berlaku. Bagaimana pihak penceroboh, dengan jumlah yang ramai, lebih 200 orang, lengkap bersenjata, boleh dengan mudah membolosi perairan negara tanpa dapat dikesan.
Mulanya, media menggambarkan kumpulan penceroboh begitu daif, hampir kebuluran, bertelingkah sesama sendiri dan terpaksa makan umbut kelapa. Akhirnya ia bertukar menjadi ancaman yang begitu besar, yang perlu dimusnahkan melalui ketumbukan tujuh batalion tentera!
Kita pula dilihat terlalu bertolak ansur, namun sukar dipastikan apakah tuntutan sebenar kumpulan penceroboh sehingga bermacam-macam cerita tersebar, termasuk mengaitkan janji-janji Najib.
Misteri kes Lahad Datu ini belum tersingkap sepenuhnya. Dalam sehari dua ini saya kira banyak lagi kisah memeranjatkan mungkin terbongkar. Ia bagai menyimpan bom peledak. Semoga tiada lagi korban ditagih.
Dalam pada itu, saya cadangkan buku Almarhum Dr Nik Anuar Nik Mahmud, Tuntutan Filipina Ke Atas Borneo Utara (Penerbit UKM, 2009) elok dijadikan rujukan kerana karya ilmiah penuh berfakta oleh bekas profesor sejarah ini memaparkan dengan jelas tuntutan kesultanan Sulu terhadap Sabah.
Takziah buat keluarga anggota keselamatan yang terkorban. Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan