Bapa Saiful Bukhari hari ini memohon maaf kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan mendakwa bahawa anaknya telah dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang didakwanya termasuk seorang pegawai perdana menteri untuk memfitnah Anwar dalam kes Liwat II.
"Dengan ini saya memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan famili beliau. Beliau dan familinya telah banyak menderita dan sangsara akibat fitnah ini," tambahnya
Anwar telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari tahun lepas daripada tuduhan meliwat Saiful, yang merupakan pembantunya pada 26 Jun 2008 di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.
Dalam kenyataannya, Azlan, 60, mendakwa semua kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh anaknya dan beliau sendiri, telah dirancang dan disediakan pegawai perdana menteri itu dan seorang peguam.
Malaysiakini tidak menyiarkan identiti kedua-duanya sementara menunggu respons daripada mereka.
"Mereka inilah merupakan dalang kepada semua fitnah liwat yang dilakukan terhadap YB Datuk Seri Anwar, yang melibatkan anak saya."
"Saya tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak bagi mendapatkan keterangan dari saya sebagai bapa dari awal hingga tamat perbicaraan," dakwanya.
walaupun beliau sentiasa dilihat berdamping dan bersama dengan anaknya, Azlan menjelaskan bahawa beliau melakukannya
semata-mata kerana kasih seorang ayah yang memberi sokongan moral kepada anaknya.
"Saya sememangnya tidak percaya kepada dakwaan-dakwaan yang dikenakan terhadap Datuk Seri Anwar."
Pihak pemerintah, katanya, langsung tidak pernah menemuinya untuk berbincang kes itu atau bertanya pendapatnya.
"Segalanya dirancang dengan begitu rapi oleh (pegawai berkenaan)," dakwa Azlan.
"Sebagai seorang Melayu dan Islam, saya mula sedar akan perancangan jahat ini. Saya tidak mahu terus bersekongkol dengan fitnah jahat ini. Saya mahu rakyat yang cintakan negara ini tahu akan niat jahat mereka.
"Jika niat jahat ini berterusan, bukan sahaja umat Melayu dan Islam hancur tetapi negara musnah. Saya tidak sanggup melihat ini terjadi.
Azlan merayu kepada seluruh rakyat negara ini "bangun bersatu menentang kezaliman ini dan bekerja keras agar kebenaran akan muncul".
"Marilah kita juga doakan agar Allah menangkan perjuangan Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih
pemerintahan negara dalam Pilihan Raya ke-13 nanti," katanya.
Sementara itu, Sinar Harian Online petang ini pula melaporkan satu SMS daripada media Umno kononnya Saiful, menafikan kenyataan bapanya.
Akhbar dalam talian tersebut memetik Saiful sebagai mendakwa bapanya "diperguna" oleh pihak-pihak tertentu untuk memohon maaf.
"Berikutan kenyataan bapa Saiful yang mohon maaf pada Anwar isu liwat, ini reaksi Saiful - bapa saya diperguna," Sinar Harian memetik media Umno sebagai berkata.
Berdasarkan kiriman pesanan itu, Saiful dilapor berkata dia tetap "istiqamah" dan "tak sekali berganjak" serta "tengah fikir tindakan balas selanjutnya dan tak mahu melatah".
Bagaimanapun, akhbar itu juga menyebut reaksi langsung daripada Saiful masih belum diperolehi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan