"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jika Najib berundur Khairy berpotensi naik menjadi TPM - Kadir Jasin

HARAKAHDAILY 
KUALA LUMPUR: Kalau dengan takdir Najib terpaksa berundur sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang, pasangan Muhyiddin dan Ahmad Zahid adalah alternatif yang logik.
Demikian ulasan Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin menerusi blognya.

Tetapi, menurutnya kalau Muhyiddin terus penat dan menderita sindrom Timbalan Perdana Menteri maka jawatan PM mungkin jatuh ke tangan Hishammuddin Hussein dan dalam situasi itu, Khairy berpotensi naik menjadi TPM.

"Dalam politik tidak ada yang mustahil. Yang tidak masuk akal pun boleh berlaku. Jadi, suka atau tidak kita terpaksa meletakkan Khairy di tempat yang penting dalam senario politik dan kepemimpinan negara untuk dekad ini," tulis bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP itu lagi.

Berikut ialah tulisan penuh beliau bertajuk 'Isu Kepemimpinan: Memperkatakan Khairy Jamaluddin'.

TAJUK berita akhbar The Star pada 11 Oktober berbunyi "Budget boost for Khairy". Dalam bahasa Melayu bolehlah disebut "Anjakan belanjawan untuk Khairy".

The Star memberikan tajuk itu kerana peruntukan Kementerian Belia dan Sukan dinaikkan daripada RM700 juta tahun ini kepada RM1 bilion tahun hadapan.

Pada hari Ahad 12 Oktober pula, akhbar yang sama menyiarkan tajuk berita "Walk the middle path, urges Khairy" (Khairy gesa ikut jalan tengah). Daripada dua tajuk berita ini, nyata The Star mengakui kedudukan Khairy sebagai Ketua Pemuda Umno dan Menteri Belia.

Ada pembahas blog ini dan peserta Persidangan Kedai Kopi (KKA) yang berpendapat saya penyokong kuat Khairy Jamaluddin.
Gabungan hebat Ketua Pemuda-Menteri Belia

Saya mengakui yang saya ada membuat beberapa ulasan positif mengenai beliau. Itu adalah berasaskan penelitian dan pengamatan saya terhadap gerakan beliau dalam politik Umno dan Kerajaan sejak lebih 10 tahun lalu.

Tetapi saya tidaklah mengenali beliau secara peribadi kecuali beberapa pertemuan dan perbualan kasual. Sepanjang ingatan saya, kali terakhir saya bercakap dengan beliau adalah pada tahun 2000 di Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu, (Tun) Abdullah Ahmad Badawi.

Saya ingat peristiwa itu kerana di majlis itulah saya mendengar "khabar angin" mengatakan hari-hari saya sebagai Ketua Pengarang Kumpulan NST mungkin sedang dihitung. Kebetulan pada hari itu, Sabtu 8 Januari, akhbar New Straits Times menyiarkan rencana Askiah Adam yang menggunakan istilah "dereliction of duty" (kecuaian tanggungjawab) bagi mengulas satu tindakan kerajaan.

Pemuda Umno Sepanjang Zaman

Sebagai wartawan tua, saya membuat penilaian positif terhadap Khairy berdasarkan pengalaman saya dengan jatuh bangun Ketua-ketua Pemuda Umno sejak zaman Datuk Harun Idris pada akhir 1969.

Mungkin ramai tidak sedar bahawa dalam politik Umno, pergerakan Pemuda mempunyai kedudukan yang istimewa dan unik. Buat permulaan, ia adalah cabang Umno yang ditanam dengan doktrin dan ideologi melalui pelbagai slogan dan pendekatan - ada yang kental dan banyak juga dangkal.

Boleh dikatakan semua Ketua Pemuda mempunyai slogan masing-masing. Misalnya, Hidup Melayu (ketika Tun Hussein Onn menjadi ketua 1949-50), Merdeka! (Tun Abdul Razak Hussein 1950-51), Pemuda di Barisan Hadapan (Tun Sardon Jubir 1951-64), Pemuda Harapan Bangsa (Senu Abdul Rahman 1964-71), Pemuda Pelopor Pembangunan (Harun Idris 1971-76), Pemuda Kumpulan Halia (Syed Jaafar Albar 1976-77), Pemuda Era Bertindak (Suhaimi Kamarudin 1977-82), Pemuda Penggerak Zaman (Anwar Ibrahim 1982-87), Pemuda Berakar Teguh Berakal Canggih (Mohd Najib Abdul Razak 1987-93), Pemuda Era Motivator dan Penggerak Wawasan (Abdul Rahim Thamby Chik 1993-96) dan Pemuda Pemangkin Gerakan Reformasi (Ahmad Zahid Hamidi (1996-98).

Sejak awal penubuhan Umno lagi, pergerakan Pemuda diberikan tugas menanam semangat kebangsaan yang berteraskan Melayu serta melatih dan menentukan hala tuju kepemimpinan negara.

Kecuali Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Dr Mahathir Mohamad, kesemua Perdana Menteri Malaysia adalah bekas Ketua Pemuda atau giat dalam pergerakan belia seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Khairy Bercita-cita Tinggi

Bagi Khairy, beliau bukan sahaja mempunyai latar belakang keluarga dan pendidikan elit malah beliau juga mempunyai cita-cita tinggi.

Beliau tidak malu-malu kucing untuk menyatakan cita-citanya. Beliau telah dipetik secara meluas sebagai berkata, beliau mahu menjadi Perdana Menteri menjelang usia 40 tahun. Kini beliau berusia 38 tahun.

Kalau diikutkan latar belakang, Khairy bukanlah bahan dunia politik. Beliau bukan daripada latar belakang siasah. Anak tunggal diplomat Melayu dari Negeri Sembilan ini dilahirkan di Kuwait. Ibunya dari Kedah. Beliau bersekolah di Singapura dan masuk universiti di England.

Beliau mempunyai ijazah dari Oxford dalam bidang falsafah, politik dan ekonomi dan sarjana muda teori undang-undang dan politik dari University of London. Pada mulanya beliau berjinak-jinak dengan dunia kewartawanan sebagai penulis di majalah The Economist dan pengacara TV.

Kalau saya tidak silap, kali pertama saya terserempak dengan Khairy dan kelompok Oxford-Cambridge (Oxbridge) adalah pada awal 1990-an dalam satu bengkel di Putrajaya bagi satu kumpulan penuntut cemerlang universiti tempatan dan luar negara yang digelar Students for Vision 2020.

Penganjur bengkel itu ialah Allahyarham Tan Sri Dr. Mohammad Noordin Sopiee (26 Disember 1944 - 29 Disember 2005) yang berupa Pengerusi dan Pegawai Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).

Ada pemerhati melabel Khairy sebagai Anwar 2.0. Saya tidak pasti sedalam dan seakrab mana perhubungan Anwar-Khairy, sekiranya ada. Yang saya tahu, mentor bengkel Students for Vision 2020 adalah Tun Dr Mahathir Mohamad. Anwar dan Tun Daim Zainuddin menjadi mentor bersekutu. Saya turut mengambil bahagian dalam salah satu sesi bengkel itu.

Berdasarkan latar belakang keluarga, pembesaran dan pendidikan , Khairy bukanlah calon semula keahlian Umno. Tetapi itu jugalah ciri yang membuatkan beliau menonjol dalam Umno.

Pada ketika Khairy mengambil keputusan bergerak cergas dalam Umno, memasuki politik apatah lagi politik Umno bukanlah sesuatu yang "fashionable".

Pada waktu itu, ramai anggota generasi muda Melayu lebih taasub mencari kejayaan material dan di kalangan yang berjiwa politik pula, mereka lebih terpengaruh dengan idea-idea kontemporari seperti reformasi.

Sama ada secara kebetulan atau dirancang, Khairy berjaya mendekati Tun Abdullah Ahmad Badawi, menjadi menentu, pembantu khas dan penolong ketua setiausaha sulit beliau. Krisis Anwar pada 1998 membawa tuah kepada Abdullah, dan turut memanfaatkan Khairy dalam jangka masa panjang.

Bagaimanapun, kerana monopoli Khairy dan kelompok Oxbridge serta beberapa kerat usahawan ke atas pentadbiran Abdullah maka beliau turut merasai tempias gerakan menjatuhkan Abdullah pada 2008/2009.

Tindak-tanduk beliau serta “budak-budak tingkat empat” lain dalam politik, pentadbiran, perniagaan dan media massa dikritik keras.

Abdullah jatuh dan digantikan oleh Mohd Najib. Logiknya Khairy tentulah terpelanting sama. Beliau adalah antara anggota kabinet dapur Abdullah yang paling dibenci. Tetapi beliau sekadar menderita tempias sementara.

Mohd Najib Penyelamat Khairy

Kejayaan beliau membebaskan diri daripada Abdullah dan merapati Mohd Najib sehingga diterima sebagai orang kepercayaan membuktikan keupayaan beliau sebagai political survivalist muda.
Mohd Najib perkukuh kedudukan Khairy

Kejatuhan Abdullah tidak membantutkan kerjaya politik Khairy. Pada tahun Abdullah dipaksa meletakkan jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno, Khairy menang pertandingan Ketua Pemuda dengan mengalahkan Mohd Khir Toyo dan Mukhriz Mahathir.

Hari ini, kedudukan beliau dalam politik Umno boleh disifatkan sebagai unshakable - sukar digoyang. Sebagai Ketua Pemuda serta Menteri Belia dan Sukan, beliau mempunyai kedudukan yang cukup kuat dalam hierarki Umno.

Untuk itu, beliau wajar berterima kasih kepada Mohd Najib kerana melantik beliau menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan. Saya adalah antara orang yang mahu Khairy diberikan jawatan menteri apabila beliau menang Ketua Pemuda. Tetapi bukan Menteri Belia. Saya mencadangkan Kementerian Luar.

Saya melihat gabungan jawatan Ketua Pemuda dengan Kementerian Belia sebagai memberikan terlalu banyak kuasa dan kelebihan kepada Khairy berbanding barisan kepemimpinan Umno dan kerajaan yang seangkatan dengan beliau.

Sama ada Mohd Najib menyedarinya atau tidak, Khairy kini muncul sebagai orang paling hadapan dalam pewarisan Umno. Selepas Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden adalah Khairy.

Sebab itu pada masa lampau, Presiden Umno dan Perdana Menteri amat berhati-hati memberi jawatan dan peranan kepada Ketua Pemuda. Tidak semua Ketua Pemuda diberikan jawatan, apatah lagi jawatan Menteri Belia. Malah Pergerakan Pemuda dianggap begitu berpengaruh sehingga jawatan Menteri Belia sengaja tidak diberikan kepada Ketua Pemuda kecuali orang itu diyakini kesetiaannya atau sedang dilatih untuk kedudukan yang lebih tinggi.

Namun ada juga Ketua Pemuda yang tidak mahu jawatan kerajaan. Mereka mahu menjadi Ketua Pemuda yang bebas dan boleh mengkritik kerajaan sekiranya perlu. Antara mereka ialah Allahyarham Jaafar Albar dan Suhaimi Kamaruddin.

Ada pemerhati mengatakan bahawa Tun Abdul Razak tidak membawa Ketua Pemuda waktu itu, Datuk Harun Idris, ke Pusat sebaliknya mengekalkan beliau sebagai Menteri Besar Selangor kerana beliau tahu pengaruh Harun di kalangan belia, khususnya dan orang Melayu, amnya. Sebaliknya Abdul Razak melantik biras beliau, Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah menjadi Menteri Belia.

Sama ada Mohd Najib sedar hal ini atau tidak, tindakan melantik Khairy sebagai Menteri Belia telah menggandakan kuasa dan pengaruh beliau sebagai pemimpin pelapis Umno dan kerajaan.

Saya rasa Mohd Najib sedar kerana beliau sendiri membina landasan kuasa dan mengumpul barisan penyokong tegar ketika menjadi Ketua Pemuda dan Menteri Belia.

Jadi kita tidak perlu hairan atau marah kepada Khairy kalau beliau nampak begitu yakin dan berani. Pertamanya, perwakilan Pemuda telah memberi undi mutlak kepada beliau dua kali berturut-turut. Keduanya, Presiden Umno merangkap Perdana Menteri telah melantik beliau menjadi Menteri Belia.

Ke Mana Khairy Selepas Ini

Pertama, kalau beliau pandai dan semakin matang, beliau akan lakukan seperti kata ungkapan Inggeris, "keep your nose clean". Jangan cari pasal dan jangan buat hal sehingga boleh diperas ugut satu hari nanti!
Masuk Tentera dan hantar anak ke sekolah biasa

Dalam dunia yang dipacu oleh media sosial, ramai orang tahu bahawa Khairy menghantar anaknya ke sekolah kebangsaan pada saat ramai pembesar Umno, termasuk menteri sendiri curi-curi hantar anak-anak mereka ke sekolah elit swasta. Beliau sendiri masuk menjadi anggota Tentera Wataniah.

Kedua, bila dan bagaimana perubahan kepemimpinan Umno dan kerajaan akan berlaku. Kalau dengan takdir Mohd Najib terpaksa berundur sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang, pasangan Muhyiddin Mohd Yassin dan Ahmad Zahid Hamidi adalah alternatif yang logik.

Tetapi kalau Muhyiddin terus penat dan menderita sindrom Timbalan Perdana Menteri maka jawatan PM mungkin jatuh ke tangan Hishammudin Hussein dan dalam situasi itu, Khairy berpotensi naik menjadi TPM.

Dalam politik tidak ada yang mustahil. Yang tidak masuk akal pun boleh berlaku. Jadi, suka atau tidak kita terpaksa meletakkan Khairy di tempat yang penting dalam senario politik dan kepemimpinan negara untuk dekad ini.

Suka atau tidak, buat waktu ini yang nampak menonjol di kalangan barisan pelapis Umno ialah Khairy, kecuali kalau dalam masa terdekat ini muncul watak-watak lain yang lebih karismatik, petah dan pintar.

Wallahuaklam.

Tiada ulasan: