"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cemburu: Suami sakit mental bunuh isteri

KUALA LUMPUR: Gara-gara kerana ikutkan perasaan cemburu, seorang wanita maut selepas dipukul dengan teruk oleh suaminya.

Kejadian berlaku di Taman Tun Dr. Ismail kira-kira jam 7.30 malam pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Sharul Othman Mansor berkata, mangsa Suraiza Hamzah, 46, meninggal dunia selepas dihentak oleh suaminya dengan menggunakan objek tumpul.

Menurut beliau, suami mangsa mengalami masalah mental.

“Mangsa yang bekerja sebagai juruaudit di sebuah syarikat penerbangan tambang murah ditemui telah terbaring di ruang tamu rumah oleh anak lelakinya berusia 17 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian pasangan suami isteri itu telah bergaduh akibat cemburu apabila suami mangsa berusia 47 tahun itu mengesyaki isterinya menjalin hubungan dengan lelaki lain.

Sharul memberitahu, suspek ditahan oleh anggota ronda Balai Polis Taman Tun Dr Ismail setengah jam kemudian selepas menerima maklumat daripada ibu saudara anak mangsa.

Katanya lagi, sebaik menemui ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri, anak pasangan itu telah memaklumkan kepada ibu saudaranya untuk menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan.

“Mayat mangsa telah di hantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
-fmt-

Tiada ulasan: