"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Naib Presiden PAS ramal Harapan Baru jadi NGO

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar A Samad mendakwa kumpulan progresif dalam parti itu yang kini dilihat sebagai kumpulan Gerakan Harapan Baru tidak yakin mendapat sokongan rakyat sehingga terpaksa menangguhkan penubuhan parti baru beberapa kali.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Iskandar berkata, beliau juga tidak akan terkejut jika parti berkenaan ditangguhkan sekali lagi penubuhannya atau akhirnya hanya menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Pada asalnya parti tersebut dijangka ditubuhkan pada pertengahan Ogos tetapi kemudian ditangguh kepada awal September. Terkini, ia akan ditubuhkan pada pertengahan bulan September.

"Saya percaya kumpulan tersebut yang sekarang ini menggelar diri mereka sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB) sedang meninjau sokongan rakyat terhadap gerakan tersebut," katanya.

Kelihatan kabur

Iskandar yang juga Exco Selangor berkata, penubuhan parti itu akan ditangguhkan jika sokongan rakyat dilihat tidak memberangsangkan.

"Malah saya juga tidak terkejut jika penubuhan parti tersebut dibatalkan dan kumpulan itu hanya bergerak sebagai NGO," katanya.

Iskandar yang memenangi jawatan naib presiden dalam muktamar yang menyaksikan hampir seluruh pemimpin progresif diketepikan berpendapat, jika GHB mahu menjadi parti, ia perlu dilakukan segera.

Ketika ini, katanya, kredibliti mereka sedang dipertikaikan apabila hala tuju mereka "kelihatan kabur".

Jika benar mahu membawa nilai tambah ke dalam landskap politik negara, katanya, GHB perlu menarik keanggotaan daripada kalangan penyokong Umno atau BN, bukan ahli PAS.

"Sepatutnya matlamat utama mereka adalah menumbangkan Umno dan BN, bukan menghancurkan PAS.

"Perkara yang hendak diperjuangkan mereka seperti inklusif dan mendekati masyarakat bukan Islam telah lama ada di dalam PAS.

"Masanya untuk memperkukuhkan PAS kerana sudah tentu Umno akan bersorak jika berlaku perpecahan di dalam parti ini," katanya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: