"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jabatan Mufti Pahang dianggap tidak beradab dan niat jahat kata Melayu DAP

Jabatan Mufti Pahang dianggap tidak beradab apabila mengecam DAP melalui mimbar masjid dan surat di negeri itu semalam kerana tuduhan berkenaan dibuat dalam keadaan tiada sesiapa boleh mempertahankan diri.
Malah, tindakan mendakwa DAP sebagai "terang-terangan menentang Islam" jelas dibuat dengan niat jahat.

Pegawai Khas Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata, tuduhan berkenaan bukan saja tidak berasas malah berbentuk fitnah.

"Saya mencabar Jabatan Mufti Pahang mengeluarkan bukti kukuh yang menjadi asas kepada mereka menuduh DAP sebagai parti memusuhi Islam," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam teks khutbah disediakan Jabatan Mufti Pahang semalam, pada salah satu perenggannya dimuatkan kenyataan: "Dewasa ini kita melihat perpecahan umat islam di negara kita terutama bangsa Melayu begitu ketara. Perpecahan ini kerana mengutamakan parti politik melebihi perpaduan dan persaudaraan Islam seperti parti Umno, PAS, PKR dan ditambah parti baru yang dinamakan Gerakan Harapan Baru (GHB) malahan ada di kalangan umat islam yang menyertai Parti DAP yang terang-terangan menentang Islam. Sepatutnya umat Islam bergabung dan bersatu suara walaupun berlainan dasar politik mereka".

Khutbah adalah salah satu bahagian dalam sembahyang dan jemaah tidak dibenarkan bercakap atau berkata-kata ketika ia dibaca khatib.

Kata Sheikh Omar, beliau sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Mufti Pahang.

Hadapi pemimpin salah guna kuasa

Sementara itu sekumpulan ahli Melayu DAP juga hari ini mengeluarkan kenyataan mengecam khutbah berkenaan.

"Kepelbagaian parti politik dan kewujudan parti politik baru bukanlah tanda perpecahan umat Islam sebaliknya menunjukkan kematangan umat Islam dan Melayu dalam negara berdemokrasi.

"Penting juga kita membezakan tentang peranan dan fungsi parti politik dalam sistem demokrasi negara dan dan perpaduan agama. Kita seharusnya meraikan perbezaan bukan sahaja melalui kaca mata politik malah dalam agama dan fahaman," kata kenyataan itu.

Menurut mereka, DAP sebagai parti politik menjunjung perlembagaan sebagai asas pembentukan negara ini serta mengiktiraf dan menghormati Islam sebagai agama rasmi.

"Isu menentang Islam adalah fitnah politik semata-mata.

"Jika pihak masjid ingin mengajak ke arah perpaduan umat Islam di negara ini, sepatutnya ia terarah kepada usaha untuk berhadapan dengan pemimpin yang menggunakan label Islam tetapi menzalimi rakyat, mengapi-apikan permusuhan melalui isu agama dan kaum, dan yang mengamalkan korupsi serta menyalahgunakan kuasa dalam menjalankan amanah mentadbir negara," kata mereka.

Kenyataan itu antara lain ditandatangani Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal; Ahli Jawatankuasa Wanita DAP Selangor, Young Syefura Othman; Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Subang, Numan Saadan dan ahli DAP Bukit Bendera, Izmil Amri.
-malaysiakini-

3 ulasan:

Abdul Said berkata...

Jangan nak salahkan Jabatan Mufti, mereka cari makan mengikut kehendak yang memberi makan. Kalau tidak ikut arahan kena berhenti kerja. Kalau berhenti kerja nak cari kerja apa??? Takkan nak mengajar kat pondok atau ceramah di surau dan masjid!!! Jatuh standardlaaa.

Benbrahem berkata...

Kalau dah namanya pengampu bujur lalu melintang patah, hentam saja! Asalkan hati tuan besar puas.

Benbrahem berkata...

Kalau dah namanya pengampu bujur lalu melintang patah, hentam saja! Asalkan hati tuan besar puas.