"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas speaker Dewan Perwakilan Rakyat jual harta bayar kembali wang rasuah

Bernama 

Setya Novanto kini sedang menjalani hukuman penjara 15 tahun di Penjara Sukamiskin, Bandung. (Gambar AFP)
JAKARTA: Bekas speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Setya Novanto dilaporkan terpaksa menjual asetnya bagi tujuan membayar balik wang yang dilesapkannya dalam kes rasuah projek e-KTP (Kad Tanda Penduduk elektronik).

Menurut media Indonesia, Setya yang sedang menjalani hukuman penjara 15 tahun atas kesalahan jenayah itu, terpaksa berbuat demikian untuk membayar kembali wang berkenaan kepada Komisi Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia.

Jurucakap KPK, Febri berkata setakat ini, Setya yang membuat bayaran secara ansuran membayar sejumlah Rp5 bilion dan US$100,000.

“Bayaran terakhir yang dilakukan semalam iaitu berjumlah Rp1.1 bilion, jumlah yang dibayar setakat ini dalam rupiah ialah Rp5 bilion dan dalam dolar AS berjumlah US$100,000,” katanya.

Setya dikatakan menjual rumah dan tanahnya di Jakarta dan Bogor bagi tujuan pembayaran balik itu.

Menurut peguamnya, Firman Wijay, Setya juga bakal menjual beberapa lagi asetnya yang lain.

Setya ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 15 tahun di Penjara Sukamiskin, Bandung.

Pada April lepas, mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara dan denda Rp500 juta selepas dia didapati bersalah dalam kes rasuah dan penyelewengan projek e-KTP yang dipercayai membabitkan kerugian Rp2.3 trilion kepada negara.

Setya juga dihukum supaya mengembalikan wang berjumlah US$7.3 juta kepada pemerintah menerusi KPK.

Kes rasuah dan penyelewengan projek e-KTP itu turut melibatkan beberapa pegawai pemerintah termasuk 4 ahli DPR Indonesia dengan beberapa kes berkaitan projek e-KTP tersebut masih dibicarakan di mahkamah.

Tiada ulasan: