"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AMANAH belum berada di atas landasan sepatutnya?

DR ABDUL LATIFF MOHD IBRAHIM 
Kini sudah melepasi 100 hari Pakatan Harapan memerintah negara.

Selain masalah luaran banyak juga masalah dalaman yang terpaksa ditangani oleh semua parti dalam gabungan itu.

Masalah luaran bercampur masalah dalaman sudah tentu menjadikan kepimpinan kerajaan yang pada masa sama kepimpinan parti tidak mempunyai waktu kualiti untuk diri mereka sendiri.

Di luar sana, tamat sahaja garisan 100 hari, mulalah parti-parti pembangkang menghambur segala macam tohmahan terhadap pemerintah kerana dikatakan gagal memenhui janji-janji manifesto.

Kereta remuk teruk

Mereka langsung tidak peduli tentang keadaan negara, umpama melihat kereta yang remuk teruk tetapi mahu pemandunya terus membawa mereka ke destinasi yang hendak dituju.

Sistem yang rosak – yang anehnya digelar sebagai “kerajaan yang sangat baik” oleh seorang pemimpin parti agama konservatif – walau belum diperbaiki mahu ditekan semahunya untuk “deliver” kepada rakyat.

Sementara itu, isu dalaman pula mengenai pemerkassan parti terus terabai.

Begitu banyak peluang yang boleh dimanfaatkan apabila parti menjadi sebahagian kerajaan seperti dalam kes Parti Amanah Negara (AMANAH) terlepas begitu sahaja.

Memang inilah situasi “Catch 22”.

Umum mengetahui bagaimana Pakatan Harapan telah menerima pukulan TKO di Pantai Timur Semenanjung dalam pilihan raya umum lepas.

Misi tidak kesampaian

Bagi AMANAH khususnya, misi untuk menapak di sana tidak kesampaian.

Ini terjadi dalam keadaan bekas-bekas tokoh Pas ramai di dalam parti tersebut dan memegang jawatan-jawatan utama parti.

Pengalaman mereka banyak. Namun kerana mungkin masih mencari ‘formula’ untuk mendapat pengaruh di kawasan-kawasan yang diketahui pekat dengan aliran konservatisme yang rigid, mereka tidak dapat maju ke hadapan dengan gagasan “Islam yang ramah”.

Berapa ramai orang yang faham dan menerima gagasan baru ini? Bagaimana pula dengan penyampaiannya?

Apakah strategi jangka panjang yang tersusun sudah dirangka bagi meletakkan gagasan Islam rahmah di tengah-tengah masyarakat Muslim?

Selagi AMANAH tidak dapat meyakinkan umat Islam negara ini mengenai gagasan ini, adalah sukar bagi parti ini melebarkan pengaruh dan sokongan dan menjadi parti yang kuat standing atau lebih kuat daripada parti-parti lain dalam PH yang didominasi ahli Melayu-Islam.

Mesej yang dibawa AMANAH adalah yang terbaik bagi umat Islam negara ini. Asas ideologi yang sudah ditakrifkan oleh beberapa pemimpin dan pemikir sepatutnya menyerap ke dalam pemikiran dan tindak tanduk ahli.

Tidak perlu jadi Pas 2.0

Jangan ada lagi kekeliruan seperti “parti ini sepatutnya lebih ‘Islamik” daripada Pas” dengan menekankan pola “perjuangan” yang dibawa oleh parti lama itu.

Tidak perlu untuk AMANAH menjadi Pas 2.0. Dan sememangnya haluan tersebut tidak akan bertahan pada masa-masa akan datang.

Tegasnya AMANAH adalah dan sepatutnya “parti Islam masa depan” (Islamic political party of the future).

Ia harus menggunakan kesempatan selama lebih kurang lima tahun ini untuk membina wacana baru ini.

Namun melihat kepada cara pengurusannya, nampaknya ia masih belum mengorak langkah untuk ke arah yang disebutkan ini.

Ia masih belum berada di atas landasan yang sepatutnya.

—–
Dr Latiff, bekas profesor madya Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: