"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Semoga ada lagi yang akan tarik sokongan daripada Muhyiddin’

BAHA M. ISA

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr. Puad Zarkashi berharap ada lagi yang akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kerajaan 109 pimpinan Muhyiddin lebih kuat politiking.

“Siapa penasihat dia? Katak politik? Semoga ada lagi yang akan menarik sokongan daripada Muhyiddin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri dilapor mengumumkan menarik balik sokongan ke atas Muhyiddin.

Penarikan sokongan itu dikatakan menjadikan Kerajaan Perikatan Nasional hanya mempunyai 109 sokongan Ahli Dewan Rakyat sekali gus menyaksikan ia telah hilang majoriti yang diperlukan.

Dalam pada itu, Puad berkata, ada yang bertanya persoalan kenapa legislatif (Parlimen) digantung dan kenapa eksekutif dan kehakiman kekal, bukankah sumber kuasa eksekutif datangnya dari ‘legislature’ iaitu Parlimen.

Beliau berkata, persoalan itu perlu dijawab oleh Muhyiddin.

Menurut beliau, perbincangan seterusnya dalam kalangan pakar Perlembagaan ialah kenapa Muhyiddin menggantung Parlimen sedangkan Perkara 150 (2B) menyatakan Parlimen boleh bersidang ketika Proklamasi Darurat berkuatkuasa.

“Lagi pun Parlimen boleh bersidang ‘secara maya’. Apakah Malaysia ini terlalu mundur untuk mengadakan sidang Parlimen ‘secara maya’. Sebab itu, ialah adalah darurat politik versi Muhyiddin,” dakwanya.

Satu lagi isu yang ditularkan kata Puad, ialah Perkara 150(3) menyatakan ‘Proklamasi Darurat’ dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

“Maka apakah akan ada desakan daripada ahli Parlimen pembangkang supaya satu sidang khas Parlimen diadakan. Jika ditolak, apakah ia akan diheret ke mahkamah dan menjadi krisis Perlembagaan yang serius?” soalnya.

Tiada ulasan: