"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sumber dalaman Umno dedah perpecahan ‘mendalam’ kepimpinan parti

Robin Augustin

PETALING JAYA: Seorang pemimpin kanan Umno mendedahkan mengenai perpecahan mendalam dalam parti itu, yang mungkin menyebabkan sebilangan Ahli Parlimennya menjadi punca tumbangnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan menarik balik sokongan di Parlimen.

Bercakap kepada FMT, pemimpin yang tidak mahu dinamakan itu menyifatkan penarikan sokongan Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai “kejatuhan domino pertama”.

“Beliau tidak mendapat restu daripada Majlis Kerja Tertinggi Umno yang tidak mengarahkan mana-mana Ahli Parlimennya supaya menarik balik sokongan. Namun seperti biasa, tidak semua dalam Majlis Kerja Tertinggi tahu keadaan yang sedang berlaku.

“Orang ramai menunggu arahan presiden (Ahmad Zahid Hamidi), tetapi langkah berdiam dirinya cukup jelas,” kata sumber itu.

Beliau juga berkata, mereka yang berada dalam parti tahu Ahmad Jazlan menyebelahi pemimpin mana.

Katanya, kumpulan itu, termasuk pemimpin parti yang menghadapi perbicaraan, mahu memaksakan kejatuhan kerajaan sebelum perhimpunan agung Umno diadakan pada 31 Jan depan.

Pada perhimpunan itu Umno dijangka membuat keputusan mengenai hubungannya dengan PPBM yang dipimpin oleh Muhyiddin.

Sumber berkata, kejatuhan kerajaan Muhyiddin tidak semestinya membawa kepada pilihan raya baharu.

Perdana menteri baharu sebaliknya boleh dipilih dalam kalangan Ahli Parlimen sedia ada.

Semalam, Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz daripada Umno berkata, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik perdana menteri baharu jika beliau mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Alternatifnya, Parlimen boleh dibubarkan dan perdana menteri interim dilantik oleh Agong sehingga pilihan raya diadakan.

“Kepemimpinan Umno berpecah berhubung isu kewajaran mengadakan pilihan raya sekarang, dan kemungkinan kita mencapai keputusan yang baik jika ia berlaku sekarang,” kata sumber itu.

Beliau berkata, kumpulan yang berusaha menjatuhkan kerajaan itu menyedari skeptitisme pemimpin berhubung perkara tersebut dan mahu memaksakannya sebelum perhimpunan tahunan Umno diadakan.

“Mereka mahu mengambil keputusan itu daripada tangan kepemimpinan kolektif kerana kewarasan mungkin akan menang pada waktu itu (perhimpunan tahunan Umno).”

Penarikan sokongan Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan semalam menyebabkan hanya 111 Ahli Parlimen kekal menyokong kerajaan PN daripada 222 ahli di Dewan Rakyat.

Nazri kemudiannya memberitahu FMT bahawa lebih ramai Ahli Parlimen Umno dijangka mengambil langkah sama dengan menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan.

Tiada ulasan: