"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Surat terbuka kepada Perdana Menteri

 Surat terbuka kepada Perdana Menteri

LIM KIT SIANG dan DR MOHAMAD RAFICK KHAN

10 Jan 2021

Pejabat Perdana Menteri

Putrajaya, Malaysia

YAB Perdana Menteri

Rujukan kami berkenaan dengan sidang akhbar harian MKN pada 8-1-2021 oleh YB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob tentang perutusan khas YAB PM pada hari Isnin 11-1-2020 berkaitan tindakan kerajaan di dalam usaha mengawal penyakit COVID (C19)

Izinkan kami membawa suara rakyat menzahirkan keresahan rakyat jelata dan cadangan yang telah kami kumpulkan di sini untuk perhatian YAB Tan Sri bagi pertimbangan kerajaan.

1. Kemampuan KKM Menangani Masalah C19.

Hebahan harian KKM menggambarkan strategi peperangan menentang C19 dipikul sepenuhnya oleh KKM dan ianya hampir gagal. Adalah dilapurkan sistem Kesihatan negara hampir lumpuh. Hakikatnya bahawa kelumpuhan ini disebabkan oleh strategi yang lemah, kurang dinamik dan lebih bersifat tindakbalas lantunan ke atas masalah yang berbangkit.

Peperangan ini memerlukan penglibatan semua rakyat, pelbagai agensi kerajaan, semua kerajaan negeri dan parti politik dalam negara. Oleh itu kami menyeru agar kerajaan mengambil sikap yang terbuka dan inklusif dan merangkumi kesemua pemegang taruh (stakeholders) di dalam negara tanpa mengira latar belakang politik serta pakar-pakar dalam bidang strategi dan sains. Rakyat boleh membantu jika kerajaan memaparkan lokasi tepat kes-kes aktif di laman sesawang di mana mereka boleh mengawal pergerakan mereka dengan sendiri.

Keupayaan sokongan kepada KKM perlu ditingkatkan bagi memastikan lebih banyak pusat isolasi dibuka supaya kegunaan hospital dioptimakan and pembelian peralatan dan ubatan khusus seperti ventilator perlu ditingkatkan. Pelan vaksinasi rakyat perlu diperincikan untuk mengurangkan kegusaran rakyat.

2. Kegusaran Ekonomi akibat Tindakan megembalikan PKP

Perlakasanan kembali PKP hanya akan membebankan rakyat. Kumpulan rakyat miskin makin nazak menjalani hidupan harian. Hakikatnya PKP bertujuan memperlahankan penyebaran penyakit dan meningkatkan keupayaan sistem kesihatan untuk melawan pesakit.

Kami yakin, pihak KKM dan kerajaan mempunyai maklumat lengkap untuk menentukan apa yang perlu dibuat di dalam meningkatkan keupayaan perawatan. Oleh itu apa yang perlu dilakukan ialah hanya untuk memperlahankan penyebaran penyakit.

Ini bermakna PKP tidak diperlukan dan kawalan pergerakan rakyat akan lebih efektif jika semua pihak dapat melihat kedudukan kes aktif yang dipaparkan di atas peta di laman sesawang. Dengan adanya maklumat terbuka seperti ini semua agensi kerajaan dan NGO dapat memainkan peranan yang lebih efektif. Satu strategi yang lebih inklusif dapat dirangka oleh semua pihak dan mengawal penyebaran dalam kawasan kecil tanpa keperluan melakukan PKP yang meluas. 

Tindakan pada masa ini mestilah mengimbangi kesan ekonomi ke atas negara, kesengaraan rakyat dan juga kesesakan di sistem kesihatan kerajaan. Kajian pakar dari Hospital Sungai Buloh (A NATIONWIDE OBSERVATIONAL STUDY by Benedict Lim Heng Sim et al) melapurkan bahawa sehingga 92% pesakit Covid-19 mengalami gejala yang ringan (yang tidak perlu dimasukkan ke hospital) dan paparan statistic harian KKM pada 8-1-2021 menunjukkan yang kadar kematian hanyalah 0.4% (http://covid-19.moh.gov.my/terkini) dari jumlah yang dijangkiti.

Jelas sekali di sini, walaupun data kematian terperinci tidak dihebahkan oleh kerajaan, bantuan harus disasarkan di peringkat rawatan untuk menurunkan kadar kematian. Keperluan bantuan peralatan, ubatan dan pakar-pakar tambahan dari sektor swasta dan dari luar negara perlu dikaji. Kesimpulan di sini jelas bahawa PKP tidak perlu dilakukan dan jika dibuatkan ianya akan membawa musibah yang lebih berat kepada rakyat dan negara.

3. Kegusaran ibu bapa berkaitan persekolahan anak anak

Kita sedia maklum, penjadualan semula takwim persekolahan mempunyai kesan jangka panjang ke atas anak-anak yang bakal menjadi kumpulan pelapis negara. Penjadualan semula Peperiksaan Kebangsaan seperti SPM menyebabkan anak-anak kehilangan tumpuan dan stamina dan mempunyai impak ke atas pembelejaraan keperingkat berikutnya.

Kajian data kes Covd-19 menunjukkan penularan penyakit melibatkan sekolah hampir sifar. Pihak KKM boleh mengesahkan perkara ini. Oleh itu tidak ada justifikasi khusus untuk menutup sekolah di seluruh negara bagi mengawal sebaran penyakit. Paparan peta kes aktif penyakit di laman sesawang akan membolehkan ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan di dalam pencegahan dan penyebaran penyakit. Apa yang perlu dibuat ialah meningkatkan langkah pencegahan dan melibatkan semua pihak di dalam kawalan penyakit secara inklusif.

Nyata sekali, jika kepadatan pelajar sekolah harus dikurangkan, ianya boleh dibuat melalui gandingan belajar di sekolah dan di atas talian bagi pelajar-pelajar yang tidak mengambil peperiksaan Kebangsaan. Bagi pelajar darjah 6 (UPSR), tingkatan 3 (PMR) dan tingkatan 5 (SPM), aktiviti persekolahan WAJIB diteruskan di sekolah dan pihak sekolah harus dibenarkan mengaturkan langkah kawalan penyakit yang dikeluarkan oleh KKM.

4. Kesan Ke atas Ekonomi Negara

Impak ke atas ekonomi negara dan penduduk dapat dirasakan hari ini. Kesan stimulasi kewangan tidak dapat dirasakan dan kesan kepada rakyat agak membimbangkan. Kami ingin mencadangkan agar kaedah stimulasi kerajaan dikaji semula dari segi penyampain. Jelas pemberian BSH tidak membantu rakyat dan kuasa pembelian.

Demi kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, kerjasama politik harus dilebarkan kepada semua pihak termasuk kepada Pakatan Harapan. Kerajaan perlu diaturkan semula dan meluputkan praktik politik yang sempit. Politik mestilah bersifat untuk rakyat dan bercorak lebih inklusif dan ianya boleh dilakukan jika ada pembukaan laluan dari YAB Tan Sri.

Bagi pihak rakyat,

Terima kasih

Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Iskandar Puteri

Dr. Mohamad Rafick Khan

Tiada ulasan: