"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Beri Umno jawatan TPM jika mahu selamatkan kerajaan PN

Haspaizi Zain

Kemelut antara Umno dan Bersatu ibarat retak menanti belah. Melihat situasi terkini, nampaknya sukar untuk merapatkan kembali hubungan dua parti itu.

Umno sebuah parti yang puluhan tahun mendominasi kerajaan sebagai "abang besar". Manakala Bersatu parti serpihannya yang kini memiliki kuasa dan cuba menjadi pencatur.

Tidak nampak keikhlasan dalam kerjasama dua parti ini walaupun pada peringkat awalnya tampak cantik ketika kedua-duanya sepakat mengangkat Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Umno memiliki jumlah kerusi terbesar dalam Perikatan Nasional (PN) dan sudah pasti ingin kembali berkuasa. Bersatu pula ingin mengekalkan penguasaannya walaupun menjadi minoriti dalam kerajaan.

Ada asasnya untuk Umno marahkan Bersatu dalam isu kerjasama ini. Mana tidaknya, walaupun Umno menjadi parti dominan, mereka tidak diberikan jawatan penting dalam kerajaan.

Sedangkan Umno adalah talian hayat utama kerajaan PN yang membawa kepada pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri. Tanpa sokongan Umno, mustahil untuk kerajaan ini dibentuk.

Lebih menyakitkan hati orang-orang Umno, Bersatu dikatakan cuba "mencuri" ahli mereka seperti yang didakwa ketua pemudanya Asyraf Wajdi Dusuki.

Sudah beberapa kali Umno "menjentik" Bersatu supaya ikhlas dalam menjalinkan kerjasama politik.

Namun tiada sebarang tindakan drastik diambil bagi menyelamatkan kerajaan kini. Jawatan timbalan perdana menteri tetap tidak diberikan kepada Umno meskipun itu yang dikatakan dituntut parti itu.

Kenapa begitu susah untuk Muhyiddin memberi jawatan itu kepada Umno? Ia memang wajar sebagai parti paling besar dalam PN.

Menjadi tanda tanya mengapa Muhyiddin takut untuk memberikan jawatan timbalan perdana menteri kepada Umno jika itu mampu menyelamatkan kerajaannya.

Apakah Muhyiddin lebih menjaga hati dua individu yang didakwa menjadi pencatur dalam kerajaan hari ini?

Muhyiddin boleh menyelamatkan kerajaannya jika dia berjiwa besar dan memberi jawatan berkenaan kepada Umno. Lagipun dia dan ramai lagi dalam Bersatu puluhan tahun bernaung di bawah Umno.

Tindakan Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub menarik sokongan pada PN semalam juga wajar dipandang serius oleh Muhyiddin. Ia manifestasi kemarahan Ahli Parlimen Machang itu terhadap kerajaan.

Jika ada seorang dua lagi ahli Parlimen BN menarik sokongan mereka, tumbanglah kerajaan PN pimpinan Muhyiddin. Keikhlasan politik dituntut jika Bersatu mahu terus kekal menerajui kerajaan.

Tiada ulasan: