"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 pihak cuba ‘bermesra’ dengan parti politik Sabah, Sarawak

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Tiga gabungan parti utama di Semenanjung mula mengorak langkah bagi memenangi hati parti politik di Sabah dan Sarawak sebagai persiapan menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis berpendapat, antara ketiga-tiga gabungan itu Barisan Nasional (BN) dilihat mempunyai peluang cerah bagi mencapai objektif berkenaan berdasarkan prestasi dan rekod kerjasama pernah terjalin sebelum ini.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, parti politik di Sarawak mempunyai pengalaman “hubungan dingin” dengan Pakatan Harapan (PH) sepanjang 22 bulan gabungan itu berkuasa sebagai kerajaan pusat.

Antara kekecewaan dirasakan di Sarawak termasuk pembatalan tiga projek jambatan di Batang Lupar, Igan dan Rambungan

Projek itu sebelumnya diluluskan pada zaman pemerintahan kerajaan BN sebelum PRU14.

Ketika kerajaan negeri mendakwa kerajaan persekutuan berhutang RM2.7 juta kepada Sarawak dalam bentuk hasil cukai pelancongan, kerajaan PH ketika itu meminta Sarawak membayar semula tunggakan hutang RM2.5 bilion kepada kerajaan pusat.

“Bawah kerajaan PH, kerajaan Sarawak juga dimaklumkan akan muflis dalam tempoh tiga tahun seandainya diperintah Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya kepada FMT.

Awang Azman berkata, rakyat Sarawak tidak akan melupakan kekecewaan itu dan sentimen terhadap PH masih rendah, kata beliau dengan meramalkan sokongan pengundi akan lebih cenderung kepada BN atau Perikatan Nasional (PN).

Biarpun ideologi GPS berbeza daripada PN, beliau berkata Sarawak mengutip RM3.09 bilion daripada 5% cukai jualan negeri (SST) ke atas bahan petroleum bawah pentadbiran kerajaan PN.

“Tidak ada sebab untuk mereka menolak PN, biarpun ideologinya berbeza,” katanya.

Manakala, bagi BN hubungan baik pada masa pentadbiran terdahulu membuatkan rakyat Sarawak berasa selesa sekali gus menjadi nilai tambah kepada gabungan itu bagi meraih sokongan pengundi pada PRU15 nanti.

Beliau berkata, semuanya bergantung kepada gabungan parti mana yang boleh memberikan kerajaan negeri kuasa autonomi dan peruntukan pembangunan

Di Sabah pula, parti pembangkang utama iaitu Warisan yang mempunyai hubungan peribadi dengan Dr Mahathir Mohamad dilihat akan mengikut jejak langkah pemimpin parti Pejuang itu.

Umno dan PPBM, dilihat masih mencuba untuk memulihkan kembali hubungan selepas pertikaian mengenai jawatan ketua menteri, tahun lalu.

Dua hari lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggesa anggota parti di Sabah mengenepikan perbezaan dengan proksinya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menguatkan kembali hubungan dengan gabungan parti yang memerintah.

Tunggu dan lihat apa berlaku di Semenanjung

Seorang ahli BN memberitahu FMT, kebanyakan parti politik di Borneo bersikap tunggu dan lihat.

“Mereka menunggu apa yang akan berlaku nanti di Semenanjung,” katanya.

Antara persoalan diberi perhatian, sama ada PAS akan menyertai PPBM selepas pilihan raya, adakah BN akan bekerjasama dengan PH selepas PRU nanti, atau adakah BN akan menjalinkan kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN).

“Mereka mempertimbangkan pihak mana yang terbaik untuk menjalinkan kerjasama nanti,” katanya.

Ahli BN itu berkata, parti politik di Borneo menyedari hakikat mereka merupakan penentu atau “kingmakers” dalam PRU nanti, memandangkan tidak ada satu gabungan parti pun di Semenanjung yang akan menang dengan majoriti besar.

“Ketiga-tiga gabungan- PH, BN dan PN tidak boleh mentadbir negara ini sendiri. Mereka tidak akan mendapat majoriti. Jadi, mereka menunggu perkembanganngya.

“Mereka tidak mahu terperangkap dalam satu situasi di mana mereka menjalinkan kerjasama dengan satu pihak, dan pihak lain yang menang,” kata beliau.

Seorang ahli PH memberitahu FMT, gabungan itu sedang mengadakan perbincangan dengan parti politik di Sabah dan Sarawak.

“Kita menyedari semua gabungan parti sedang berunding dengan GPS dan parti lain di Sabah dan Sarawak,” katanya sambil menambah persediaan menghadapi PRU15 sedang diperhebatkan.

Beliau berkata, PH menyedari mereka mungkin tidak berpeluang menang di Borneo jika dibandingkan dengan BN, berdasarkan rekod sebelumnya. Namun tetap optimis PH mempunyai peluang lebih baik daripada PN.

“Apa yang kami dengar daripada akar umbi, parti politik ini tidak yakin sama ada PN akan dapat mempertahankan kedudukannya dalam PRU nanti. Di Borneo, PN masih dianggap sebagai satu gabungan yang lemah,” katanya.

Tiada ulasan: