"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perkasa dan Ibrahim diarah bayar ganti rugi RM150,000 kepada Guan Eng

SITI NUR ZAWANI MISCON

Mahkamah Persekutuan mengarahkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Presidennya, Datuk Ibrahim Ali untuk membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung kenyataan fitnah kumpulan itu yang diterbitkan pada Oktober 2011.

Memetik Malay Mail, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Datuk Nallini Pathmanathan pada September lalu telah mendengar rayuan Lim terhadap Perkasa dan Ibrahim, dengan dua hakim hari ini memutuskan untuk memihak kepada setiausaha Agung DAP itu.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal ketika membacakan ringkasan majoriti penghakiman berkata, pampasan sebanyak RM150,000 yang perlu dibayar oleh Perkasa adalah lebih dari wajar dan tidak berlebihan.

“Sebagai kesimpulan dan atas alasan yang disebutkan, pegawai awam ketika memfailkan saman sebagai individu, sama ada saman secara peribadi atau atas kapasiti rasmi, tidak menghalang untuk mengemukakan tindakan fitnah,” kata hakim ketika membaca ringkasan dalam talian melalui Zoom.

“Oleh itu, rayuan dibenarkan. Perintah Mahkamah Tinggi yang berkaitan dengan responden, telah ditetapkan,” katanya, ketika menetapkan jumlah RM150,000 yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap Perkasa dan Ibrahim Ali.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Rahman Sebli juga membacakan keputusan minoritinya, di mana dia mengatakan bahawa rayuan Lim harus ditolak.

Terdahulu pada 2012, Guan Eng memfailkan saman fitnah terhadap Perkasa, Ibrahim, Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kassim, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan Utusan Melayu (M) Sdn Bhd.

Saman difailkan atas kenyataan yang dibuat oleh Ruslan dan disiarkan di laman web Perkasa pada 1 Oktober 2011 yang membayangkan Guan Eng membahayakan keselamatan negara dengan mendedahkan rahsia negara kepada Singapura.

Kesemua mereka kemudiannya mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan pada 2016, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Guan Eng yang ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang tidak boleh menyaman media kerana memfitnah atas kedudukan rasmi beliau.

Ini menyebabkan Guan Eng memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan tahun berikutnya.

Bagaimanapun, Utusan Melayu dan NSTP tidak mahu meneruskan tindakan mahkamah dan bersetuju membayar ganti rugi masing-masing berjumlah RM200,000 kepada Guan Eng.

Pada 2019, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran merayu yang dipohon Guan Eng untuk merujuk isu undang-undang dalam kes saman yang dikemukakan terhadap tiga pihak iaitu Perkasa, Ibrahim Ali dan Ruslan Kassim.

Tiada ulasan: