"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Agong boleh tentukan tarikh panggil, prorog atau bubar Parlimen tanpa nasihat PM

ZULHAZMI SHARIFF

Istana Negara hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) boleh bersidang ketika tempoh Darurat berkuatkuasa.

Perenggan 3 Kenyataan Istana Negara menyebut :

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat YAB Perdana Menteri.”

Ini sesuai dengan peruntukkan Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang memperuntukkan seperti berikut :

14 (1) – Bagi tempoh darurat berkuat kuasa –

(a) peruntukkan yang berhubungan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan; dan

(b) Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Walaubagaimanapun kenyataan menyebut atas nasihat Perdana Menteri.

Menjunjung kasih Ke Bawah Duli Tuanku, rasanya terdapat sedikit kekhilafan dalam kuasa memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen yang dimaksudkan di dalam kenyataan akhbar tersebut.

Dalam keadaan biasa di mana peruntukkan Perkara 55 Perlembagaan terpakai, kuasa memanggil, memprorog dan membubar Parlimen secara lazimnya adalah di atas nasihat Perdana Menteri.

Sekarang di dalam tempoh darurat berkuatkuasa di mana Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 terpakai malah Seksyen 14 (1) (a) khususnya menyebut bahawa peruntukkan memanggil, memprorog dan membubar tidak terpakai malah diperuntukkan sub-seksyen (1)(b), jelas bahawa kuasa untuk menasihat oleh Perdana Menteri tidak terpakai.

Justeru Tuanku YDPA boleh pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai memanggil, memprorog atau membubarkan Parlimen tanpa nasihat Perdana Menteri.

Jika masih memerlukan nasihat Perdana Menteri, peruntukkan Seksyen 14(1)(a) tidak perlu diletakkan.

Peruntukkan Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan YDPA hendaklah memanggil Parlimen bersidang manakala Perkara 55(2) memperuntukkan YDPA boleh memprorog dan membubarkan Parlimen tetapi peruntukkan Seksyen 14(1)(b) jelas memperuntukkan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan.

Beza perkataan “boleh” dan “hendaklah” amat ketara.

Orang lain mungkin berbeza pandangan dalam tafsiran undang-undang tapi ini tafsiran saya sekarang.

Kuasa di tangan Ke Bawah Duli Tuanku sepenuhnya. Panggil Perdana Menteri mengadap dan titahkan beliau memanggil Parlimen bersidang.

Tiada ulasan: