"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Naib Canselor UPM ‘dicutikan’ tanpa sebab

SITI NUR ZAWANI MISCON

Naib Canselor UPM ‘dicutikan’ tanpa sebab

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman dilaporkan telah diarah bercuti selama sebulan sehingga 17 Mac depan.

Memetik akhbar Utusan Malaysia hari ini, Mohd Roslan ‘dicutikan’ bermula 18 Februrari lalu sehingga Mac atas sebab yang tidak diberitahu.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM, Prof Dr Daud Ahmad Israf Ali yang memberitahu telah menerima surat tersebut dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menerusi surat itu, KPT juga dilapor melantik Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Datuk Dr Zulkifli Idris untuk menjalankan tugas-tugas Naib Canselor.

“Kami terima surat daripada Menteri Pengajian Tinggi mengenai perkara ini iaitu diarahkan bercuti tetapi tidak diberitahu sebab-sebabnya,” katanya seperti dipetik akhbar Utusan.

Sementara itu, Dr Zulkifli yang dihubungi juga mengesahkan telah diarah menjalankan tugas naib canselor namun tidak mengulas lanjut.

Untuk rekod, Mohd Roslan dilantik sebagai naib canselor berkuatkuasa 1 September 2020 hingga 31 Ogos 2023 dan telah dipertanggungjawabkan menjalankan fungsi untuk jawatan itu sejak 1 Julai 2020.

Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM selama hampir tiga tahun serta menggalas jawatan pentadbiran dan akademik yang lain, antaranya Pengerusi Jemaah Pengetua Kediaman Pelajar UPM dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.

Beliau juga berjaya menerbitkan lebih daripada 200 hasil penyelidikan dalam jurnal berimpak tinggi.

Tiada ulasan: