FAZLI RADZI
Ahmad Husam Datuk Baderudin menyatakan rasa risau dan bimbang melihat sesetengah komentar berhubung statusnya sebagai penceramah agama bertauliah.
Dikenali sebagai ustaz ‘jari tengah’, Husam menjelaskan dia memiliki beberapa dokumen sah dari pihak berwajib agama negeri Kedah mengenai “kebenaran menyampaikan ceramah dan kuliah pengajian.”
“Mesti Ada Yang Tanya, Kalau Dah Ada Kenapa Tidak Tunjuk? Jawapanya Ana Nak Tunjuk Kepada Siapa?
“Kerana Tidak Ada Pihak Yang Menghubungi Ana Langsung Untuk Bertanya Dan Meminta Apa-apa.
“Dah Tidak Ada Sesiapa Yang Minta, Jadinya Kepada Pihak Mana Yang Saya Hendak Tunjuk?
“Nak Tunjuk Di Media Sosial? Boleh Selesai Ke?” soalnya dalam catatan di Facebook miliknya semalam dalam setiap perkataan yang menggunakan huruf besar itu.
Akhir bulan lalu, dia mengundang kecaman warga maya selepas sedutan ceramahnya yang antara lain menggelarkan anggota RELA sebagai “anak haram” tular di media sosial.
Paling menghebohkan pada 2015 apabila ustaz yang aktif berceramah di pentas Pas itu menunjukkan jari tengah ketika berceramah dalam Masjid Permatang Berangan di Sungai Petani.
Husam yang juga anak bekas Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad itu menjelaskan akan memberikan dokumen berkaitan kepada pihak berwajib yang meminta.
“Pandangan Ana, Ana Perlu Memberikan Kepada Pihak Yang Berwajib Sahaja. Itulah Sebab Ana Tidak Mahu Memanjangkan Isu, Biarlah Ana Beralah Untuk Kebaikan.
“Insha-Allah Segala Dokumen Ini Dah Ana Siapkan Jika Ada Pihak Yang Meminta…,” ujar Presiden Kelab Pendokong Penyatuan Ummah Malaysia berkenaan.
Sementara itu, pada 19 Februari lalu, Husam memberitahu telah 17 tahun telah “berkhidmat dengan ummah” dengan mengakhirkan “khidmat dakwah” di Masjid AL-Furqan Kg Sg Ular, Kulim.
“Saya Akur Dengan Arahan Pihak Berwajib, Walaupun Saya Ada Segala Dokumen Yang Mengizinkan Menyampaikan Ceramah & Kuliah Di Negeri Kedah.
“Setiap Yang Bermula Akan Pasti Bertemu Dengan Berakhir, Saya Akur Dan Taat.
“Malam Ini Adalah Malam Yang Tidak Pernah Saya Mengimpikan Selama Saya Hidup.
“11 Tahun Saya Bersama Dengan Jemaah Masjid Sg Ular, Hampir 2 Buah Kitab Kami Khatam, Walaupun Pelbagai Cara Di susun Atur Untuk Meneruskan Kuliah,” katanya lagi dalam catatan di Facebook lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan