"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kisah Sonia buat ramai menitiskan air mata

Yun Mikail

Keningau: Kepetahan Soniacallysta Nel Blasius, 7, bercakap dalam video bagi program transisi murid Tahun Satu yang tular baru-baru ini bukan sahaja mencuri perhatian malah turut menyebabkan ramai warganet menitiskan air mata apabila kanak-kanak itu mula bercerita tentang bapanya.

Dalam video berdurasi kira-kira tiga minit itu, Soniacallysta atau panggilan manjanya Sonia, bercerita mengenai keluarganya yang terdiri daripada ibu, ayah, abang, adik lelaki, datuk dan nenek.

Bagaimanapun, Sonia yang berbaju seragam sekolah tiba-tiba menangis teresak-esak apabila mula bercakap tentang bapanya, Blasius Madili, 36, yang meninggal dunia pada Mei tahun lalu akibat menghidap sakit buah pinggang tahap kronik.

Kesedihan yang tidak dapat disembunyikan Sonia dalam video itu menyebabkan penonton turut sedih dan menitiskan air mata, malah ramai meninggalkan komen supaya Sonia terus kuat dan membesar menjadi seorang anak yang berguna kepada keluarga serta masyarakat.

Menurut ibunya, Susanna Angon, 38, dia memuat naik video anak keduanya itu di laman Facebook pada 25 Januari lalu dan terkejut apabila ia menjadi tular dengan lebih 284,00 tontonan, menerima 11,000 tanda suka, 8,000 perkongsian dan 1,600 komen.

"Video berkenaan adalah salah satu tugasan yang diberikan pihak sekolah kepada Sonia kerana dia ketika itu berada dalam minggu orientasi.

"Kemudiannya, saya memuat naik video berkenaan di Facebook dengan tujuan hanya untuk kenangan peribadi serta keluarga. Saya sendiri terkejut melihat video itu tular pada keesokan harinya.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang memberikan semangat dan motivasi kepada keluarga kami khususnya Sonia.

"Selepas video itu tular, ada beberapa individu menyatakan hasrat memberikan hadiah seperti peralatan sekolah malahan ada juga yang membuat panggilan video untuk bercakap dengan Sonia," kata ibu kepada tiga cahaya berumur antara empat sehingga 16 tahun itu.

Mengulas lanjut, Susanna memaklumkan anak perempuan tunggalnya itu memang seorang yang aktif, ceria, suka bercakap dan manja dengan mendiang ayahnya.

Menurut Susanna, dia sendiri tidak menyangka Sonia akan menangis sewaktu bercakap mengenai bapa sambil menyatakan mahu mendiang ada dekat bersamanya.

"Saya terpaksa berhenti beberapa minit untuk memujuknya selain membiarkan dia bertenang sebelum menyambung semula rakaman.

"Walaupun Sonia sedikit terkejut dengan video dia menangis tular tetapi kegembiraan jelas terpancar di wajahnya apabila semakin ramai orang mahu bertemu dan memberikan hadiah," katanya yang menetap di Kampung Bandukan Lama Bingkor.

Paling menyentuh perasaan apabila Sonia berdoa supaya roh bapanya tenang serta diterima di sisi tuhan.

Tiada ulasan: