"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa pilihan rakyat dalam PRU 15

MUHAMMAD AZHA SALAHUDIN

Setelah tumbangnya kerajaan PH semasa Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020 yang lalu,timbul rasa ketidakpuasan hati rakyat kerana mandat yang diberikan kepada PH untuk memerintah telah dirampas oleh sekumpulan yang dikatakan sebagai pengkhianat.

Sekumpulan pengkhianat itu terdiri daripada kumpulan parti Bersatu yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin dan sekumpulan ahli parti PKR yang dipimpin oleh Azmin Ali. Maka,terbentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu, Pas, Umno, kumpulan Azmin dan beberapa parti yang lain.

Setelah hampir setahun kerajaan PN menjadi kerajaan,PN sering menunjukkan kegagalannya dalam urusan pentadbiran walaupun mempunyai ahli kabinet terbesar dalam sejarah pemerintahan negara. Masalah kesihatan,pendidikan,ekonomi dan pendapatan rakyat masih tidak berjaya diperbaiki oleh PN.

Timbul pula desakan oleh beberapa individu seperti Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang bercadang untuk mengadakan PRU15 secepat mungkin dan disokong oleh beberapa orang pimpinan Umno yang lain. Sebelum itu, timbul desas-desus yang mengatakan PRU15 akan diadakan pada hujung tahun 2020.

Namun, atas faktor kesihatan dan keselamatan rakyat,Pakatan Harapan telah mendesak supaya PRU15 tidak boleh dilaksanakan dalam masa terdekat atas faktor kesihatan dan keselamatan rakyat daripada ancaman jangkitan Covid19. Kita perlu mengambil iktibar daripada PRN Sabah yang menjadi punca kes jangkitan meningkat secara mendadak.

Rakyat juga membantah cadangan Zahid Hamidi yang dilihat lebih mementingkan politik daripada kesihatan rakyat. PRU15 menjadi topik hangat yang sering dibincangkan oleh orang ramai bagi menentukan kerajaan yang dipilih mampu untuk melaksanakan perubahan kearah yang lebih baik serta menjaga kebajikan rakyat sepenuhnya.

Kelemahan dan kegagalan kerajaan PN dalam mentadbir negara sekarang telah memberi kredit kepada Pakatan Harapan yang dilihat lebih mementingkan soal kehidupan rakyat. Walaupun parlimen tidak dapat untuk bersidang,Pakatan Harapan telah menggunakan media sosial bagi menyuarakan kesusahan dan keresahan rakyat dalam mendepani hidup pasca Covid19.

Rakyat juga melihat pengisytiharaan darurat yang diumumkan oleh Muhyiddin Yassin lebih kearah bermotifkan politik berbanding soal kesihatan awam. 

Darurat yang dilaksanakan sehingga bulan ogos ini adalah bertujuan untuk mengelak berlakunya Pilihanraya Kecil, Pilihanraya Negeri dan Pilihanraya Umum bak kata Muhyiddin Yassin.

Secara jujurnya, darurat ini bertujuan untuk mengelak Dewan Rakyat daripada terus bersidang agar Pakatan Harapan tidak berjaya untuk membawa usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin Yassin yang terbukti telah hilang sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri setelah beberapa ahli parlimen Umno menarik sokongan kepada Muhyiddin Yassin.

Dalam Perikatan Nasional sendiri,berlaku keretakan yang menanti belah antara parti gabungan tersebut. Pas yang telah bertahaluf siayasi bersama Umno telah membentuk Muafakat Nasional pada bulan September 2019. Namun, setelah Bersatu dilihat menguasai kerajaan, Pas mula mengambil hati Bersatu dan mula menyertai gabungan PN.

Umno pula dilihat tidak sehaluan dengan Bersatu akibat daripada sebahagian ahli Umno lompat ke Bersatu dan menjadi sebahagian daripada kerajaan semasa PH memerintah. Umno juga melihat Bersatu sebagai ancaman terbesar dalam memperjuangkan orang melayu.

Hubungan Pas dan Umno dalam Muafakat Nasional juga mengalami permasalahan yang sama iaitu isu kepercayaan dan kesetiaan. Terdapat ahli Umno yang mengecam Pas yang dikatakan lebih mesra dengan Bersatu. Pas cuba menafikan.

Pakatan Harapan pula masih konsisten dalam agenda perjuangan mereka untuk melaksanakan reformasi pentadbiran serta terus memperjuangkan nasib rakyat dan memperbaiki ekonomi negara.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berjaya mengembalikan semula kepercayaan parti gabungan iaitu DAP dan AMANAH untuk memperbaiki serta memperkukuhkan semula Pakatan Harapan untuk menjatuhkan PN pada PRU15 akan datang.

Susulan daripada pengumuman Muhyiddin Yassin petang semalam, beliau dikatakan akan membubarkan parlimen dan PRU15 mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.

Adakah rakyat sudah bersedia untuk memilih kerajaan baharu atau sebaliknya? Dan siapakah yang akan menjadi pilihan rakyat?

Tiada ulasan: