"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gelora, pepecahan dalam Umno, apa seterusnya?

BAHA M. ISA

Sepertimana diakui oleh bekas Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa sebelum ini — Umno kini sudah berpecah kepada tiga kumpulan.

Ahli Parlimen Ketereh itu mengakui, kelompok berkenaan terdiri daripada kumpulan yang menolak kerjasama dengan Bersatu dan kumpulan yang berada di tengah-tengah.

Tidak ketinggalan, kata beliau, wujud juga kumpulan dalam Umno yang menerima kerjasama dengan parti pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, lapor Astro Awani baru-baru ini.

Berdasarkan kenyataan Annuar itu, siapakah kelompok yang menolak kerjasama dengan Bersatu? Siapa kumpulan di tengah-tengah? Siapa yang menerima kerjasama dengan Bersatu?

Jika kita mengimbas kembali, seawal 2018 juga ada dakwaan mengatakan parti itu berpecah kepada empat kumpulan iaitu kumpulan pertama, yang dikatakan mahu parti bangkit dengan semangat perjuangan memelihara Islam, Melayu dan tanah air, selain menjadi pembangkang berwibawa.

Kumpulan kedua ialah mereka yang mahu Umno bekerjasama dengan Pas dan seterusnya mewujudkan satu gerakan kesedaran orang Melayu dan mempertahankan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara.

Kumpulan ketiga pula, menurut beliau, kumpulan yang mahu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan ia mungkin kerana ada janji tertentu, di samping berpendapat Anwar tidak akan mendapat laluan mudah sepertimana dalam perjanjian Pakatan Harapan.

Manakala, kumpulan keempat pula didakwa, ialah mereka yang mahu memperkukuhkan suara Melayu dalam kerajaan. Sebab itu ramai keluar parti dan kebanyakannya lebih ke arah menyertai Bersatu, katanya.

Apa yang jelas, pepecahan bukanlah sesuatu yang asing bagi Umno.

Berdasarkan sejarah, parti ini pernah berpecah sehingga membawa kepada wujudnya dua kumpulan yang besar. Kewujudan Team A dan Team B Umno telah memberi kesan kepada politik tanah air kerana parti ini diisytiharkan haram dan seterusnya, wujud Umno baru yang didaftar semula pada 4 Februari 1988.

Perpecahan dalam parti itu juga membawa kepada sebilangan bekas pemimpin kanannya menubuhkan Bersatu. Parti serpihan Umno itu telah bersama Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sehubungan itu, gelora dalaman Umno ini jika berlarutan bakal memberi kesan kepada perjalanan parti itu selepas ini. Jika jurang perpecahan ini semakin besar, ia mungkin akan berlarutan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 kelak.

Apakah mungkin pepecahan ini membawa kepada penubuhan parti Melayu yang baharu seperti hasil perpecahan sebelum ini, iaitu Semangat 46 dan Bersatu? Atau adakah kumpulan yang dikatakan menerima kerjasama dengan Bersatu itu akan menyertai Bersatu? Atau sebaliknya, mungkin UMNO akan dapat bertahan?

Biar masa yang menentukannya.

Tiada ulasan: