"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Macam nak 'meletup' kepala diserang Covid-19' - Menteri KDN

Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Sakit kepala melampau serta kesakitan di seluruh anggota badan antara pengalaman menjalani rawatan penyakit Covid-19 yang dikongsikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, pada hari pertama beliau kembali bekerja tadi.

Hamzah yang masih perlu menjalani sesi fisioterapi dua kali seminggu untuk memulihkan kekuatan paru-parunya berkata, biarpun menjalani rawatan selama 12 hari di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas dijangkiti Covid-19, beliau sebenarnya perlu menjalani kuarantin selama seminggu apabila dibenarkan pulang pada 24 Januari lalu.

Beliau berkata, sebelum disahkan positif, beliau juga sebenarnya menjalani kuarantin selama 10 hari di rumah kerana menjadi kontak rapat kepada seorang pegawainya.

"Saya bagi tahu ni... saya nak maklumkan kepada semua pastikan kita kena patuh dengan penjarakan sosial. Saya tak tahu daripada siapa saya mendapat jangkitan Covid-19 tapi bila dah kena sakit.

"Siapa kata tak sakit? Sakit semua anggota badan macam kena demam urat, lemah badan. Allah SWT !, saya rasa macam nak meletup kepala, sakitnya tak kira, saya tak tau nak cakap macam mana sakit," katanya pada sidang media semalam.

Hamzah berkata, keadaannya menjadi lebih teruk apabila bacaan enzim dalam hatinya meningkat setinggi 900, hingga menyebabkan doktor yang merawatnya perlu berhati-hati ketika memberikan ubat.

Beliau berkata, berikutan itu, tempoh pemulihannya agak perlahan selain beliau mengalami demam sehingga suhu badan mencecah 38.9 darjah Celcius.

Beliau berkata, sepanjang tempoh rawatan, beliau banyak menghabiskan masa dengan membaca Al-Quran dan beribadah.

"Saya berdoa pada Allah SWT supaya penyakit ni lari daripada Malaysia. Macam mana nak lari dari sini? Kita kena lah memastikan diri dengar arahan serta tidak mengada-adakan cerita yang bukan-bukan untuk menakut-nakutkan orang," katanya.

Selain itu, Hamzah turut menafikan angka kes yang tinggi itu sengaja direka-reka kerajaan sebaliknya ia adalah fakta sebenar.

Katanya, tidak mungkin.

Tiada ulasan: