"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH: Ciapan Noor Hisham semalam membimbangkan

Malaysiakini 

Pakatan Harapan (PH) menyatakan kebimbangan atas tindakan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkongsi tulisan yang diterbitkan badan tidak diiktiraf Pertubuhan Kesihahan Dunia (WHO) semalam.

Menurut Jawatankuasa Kesihatan PH, rencana dipetik dari principia-scientific.com itu yang menyatakan WHO tidak lagi membuat saranan untuk melakukan saringan besar-besaran terutamanya dalam kalangan individu tidak bergejala.

"Namun, sumber artikel yang telah dikongsikan tersebut adalah bukan dari sumber rasmi WHO, tetapi sumber yang tidak disahkan, sering berkongsi artikel bersifat pseudo-science dan sering dikaitkan dengan propaganda haluan kanan," kata mereka.

Untuk rekod ciapan itu dibuat Noor Hisham malam tadi namun dipadam selepas dimaklumkan maklumat yang terkandung di dalamnya tidak disahkan, serta bukan pendirian rasmi WHO.

Tambah jawatankuasa terbabit jika diteliti saranan rasmi WHO badan itu menekankan pentingnya saringan secara menyeluruh dan ujian diagnostik yang cepat serta tepat untuk mengawal penyebaran Covid-19.

WHO juga, kata jawatankuasa berkenaan, menegaskan semua ujian harus diikuti dengan respons kesihatan awam yang kuat termasuk pengasingan individu positif dan rawatan menyeluruh, pengesanan kontak dan kuarantin.

"Ini sangat membimbangkan kerana artikel tersebut tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menjustifikasikan penurunan jumlah saringan yang dibuat, terutamanya pada masa jumlah kes Covid-19 masih tinggi di seluruh negara," kata jawatankuasa itu.

Penting tingkatkan ujian saringan

Untuk rekod jawatankuasa kesihatan itu dianggotai 12 pemimpin PH termasuk bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad dan timbalannya Dr Lee Boon Chye.

Kata mereka pada 5 Julai sebanyak 6,387 kes baru Covid-19 direkodkan di seluruh negara namun ketika jumlah ujian saringan dijalankan hanya 66,063 berbanding sasaran Kementerian Kesihatan Malaysia pada awal tahun ini iaitu 150,000 ujian sehari.

"Ini juga bermaksud kadar positif di negara ini ialah 9.67 peratus, hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding saranan WHO iaitu bawah 5 peratus.

"Malah purata kadar positif negara dari 29 Jun hingga 5 Julai lalu ialah 8.25 peratus dan jauh lebih tinggi daripada nilai yang sepatutnya.

"Ini jelas menunjukkan kita kurang membuat saringan dan bertentangan dengan nasihat pakar-pakar perubatan dan juga amalan baik dijalankan di negara-negara yang berjaya mengawal wabak ini dengan efektif," katanya.

Mengambil contoh di Singapura, United Kingdom (UK) dan di Australia, kata jawatankuasa itu, negara terbabit tetap melakukan saringan terhadap semua orang termasuk mereka yang tidak bergejala kerana majoriti kes yang dikesan adalah dalam kalangan individu yang tidak bergejala (asymptomatic).

Kaedah itu katanya menjadi cara UK meneruskan pembukaan ekonomi walaupun berhadapan dengan penularan variant Delta (dari India) di negara tersebut.

Kluster terbaru di New South Wales, Australia pula, katanya, menular di pusat jagaan warga emas juga melibatkan mereka yang tidak bergejala.

"Ini membuktikan pentingnya kita mempertingkat kadar saringan, pengesanan kontak yang cepat, kuarantin/isolasi dan pemberian sokongan secepat mungkin.

Kami sekali lagi menekankan bahawa elemen utama dalam mengawal wabak Covid-19 ini adalah sistem find, test, trace, isolate and support (cari, uji, kesan, asingkan dan sokong) yang masih disarankan WHO," katanya.

Tiada ulasan: