"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nikah online, timbalan menteri PAS minta maaf

FMT Reporters

PETALING JAYA: Selain memohon maaf berhubung isu perkahwinannya yang tular, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Che Abdullah Mat Nawi, mengingatkan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang cuba mengaib serta menjatuhkan maruahnya.

Che Abdullah, yang enggan mengulas lanjut berkenaan isu perkahwinannya itu, kini menyerahkan kepada peguam dilantik bagi mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang berkenaan.

“Isu tular itu membabitkan peribadi dan privasi keluarga yang tidak sepatutnya diketahui umum. Saya terlebih dahulu memohon maaf sekiranya isu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan saya dalam minggu ini menyinggung mana-mana pihak.

“Isu seperti ini sepatutnya tidak berlaku. Ia seolah-olah berniat mahu mengaibkan atau menjatuhkan maruah saya sekeluarga atau mungkin untuk mengganggu kerja-kerja saya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Jelapang Padi Seberang Perak, Pasir Salak, menurut laporan Sinar Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, isu berkenaan sewajarnya ditangani secara peribadi dan bukan untuk dipertontonkan kepada khalayak ramai.

Beliau turut berharap masyarakat menghormati privasinya dan keluarga.

“Sehubungan itu saya memohon kepada semua pihak supaya memberi keadilan dan ruang kepada saya untuk menyelesaikan isu ini dengan baik.

“Alhamdulillah isu ini tidak mengganggu saya untuk terus melaksanakan kerja-kerja yang diamanahkan sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Ahli Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga, rakan dan media yang memberikan semangat serta doa untuk berdepan isu tersebut.

Terdahulu, tular salinan “surat nikah” dari negara jiran, dengan butiran menyatakan seorang Ahli Parlimen bernikah dengan seorang wanita pada 1 Jun lalu.

Turut tersebar di media sosial video memaparkan seorang individu sedang melafazkan akad secara dalam talian, melibatkan seorang jurunikah daripada negara jiran dan dua saksi.

Tiada ulasan: