DR MUHAIMIN SULAM
Pada saat Mahiaddin bin Mohd. Yassin tegar bertahan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelapan di sebalik pergolakan politik terburuk dalam sejarah demokrasi tanah air, maka artikel ini saya tulis pada hari ini. Dari selepas Zohor menaip dan saya siapkan menjelang Maghrib.
Mudah-mudahan doa yang pernah dititipkan oleh Allahyarham bapa Perdana Menteri Malaysia ini dan dibaca oleh sidang pembaca sekalian akan dimakbulkan oleh Allah SWT. Amin.
Saya kira, Mahiaddin tidak punya masa untuk membaca artikel ini. Apatah lagi para juak dan penyokongnya pun tidak berkesempatan menelaah artikel ini.
Saya memang bukan penyokongnya. Inilah masa sebaiknya untuk Mahiaddin memunajatkan kepada Tuhan. Kita tidak tahu, barangkali sudah berpuluh solat hajat yang dilakukan. Kita tidak tahu.
Suasana yang ada pada kebelakangan ini, setiap detik sangat bermakna. Bukan lagi dihitung hari. Tetapi dibilang saat demi saatnya.
Haji Mohd. Yassin di hadapan rumahnya di Muar.
Politik tanah air bagai gunung berapi yang laharnya terpercik-percik keluar dari muncung serombongnya. Menanti waktu untuk meletupkan lahar dan mengalir ke bumi dan meranapkan segala kehidupan.
Di kala angka mangsa positif Covid-19 mencecah 8,868 orang hari ini dan menghampiri garis kemerahan paling merah, adalah munasabah kita perbanyakkan berdoa atau membaca doa daripada tulisan ini.
Dengan angka 135 kematian dicatat hari ini adalah suatu yang sangat membimbangkan. Kita yang bukan ahli atau pemain politik utama yang sedang berkira untuk berkira jabatan atau jawatan yang hendak diisi.
Segala banyak cara sudah dilakukan oleh kerajaan dan rakyat. Tukar kerajaan, sudah. Perintah Kawalan Pergerakan, sudah. Keluarkan wang dari KWSP, sudah. Monotorium, sudah.
Darurat, sudah. Buka Parlimen, insyaAllah sudah ada bunga-bunga pintu mula dibuka. Namun, amukan Covid-19 terus mengganas tidak sudah-sudah!
Kita juga tidak sekadar pasrah kepada ahli politik melakukan sewenang-wenangnya tetapi berusaha setakat mana yahg kita mampu. Saya menulis selagi ada idea dan kudrat. Itulah tugas nasional saya setakat ini. Mudah ada hati yang terdetik membaca karangan ini.
Bapa kepada Perdana Menteri Malaysia, Mahiaddin bin Mohd. Yassin adalah seorang ulama terkenal di Johor pada tahun-tahun 50-an hingga 70-an. Beliau yang dilahirkan pada 1899 di Tanjung Bidara, Melaka dan meninggal dunia pada 1975 di Muar.
Haji Mohd. Yassin dianugerahkan Pingat Ibrahim Sultan pada 1955 dan antara ulama yang berperanan penting dalam mempertahankan doktrin Islam kaum Tua di Johor.
Ketika beliau berusia 21 tahun, beliau sudah diberikan kepercayaan mengajar agama di masjid-masjid sekitar Muar dan Batu Pahat.
Antara kitab yang dibaca semasa dalam pengajiannya adalah Aqidatun Najin, ad Dar Tsamin, Al Hikam, Minhajul Abdin, Maniat Musolli, Miftahul Abidin, Matan Jurumiah, Ihya Ulumuddin dan sebagainya.
Daripada empat perkahwinannya, beliau mempunyai anak seramai 47 anak, 28 lelaki dan 19 perempuan. Bapa Mahiaddin lebih mesra dengan panggilan ‘Cikgu Yassin’ di kalangan masyarakat setempat dan pada sekitar tahun-tahun 60-an, beliau menghimpunkan doa-doa dalam sebuah buku bertajuk ‘Doa dan Amalan Haji Mohd. Yassin bin Muhammad’.
Sebahagian himpunan doa-doa itu dicetak dan dijual bagi memungut derma untuk membiayai Sekolah Agama (Arab) Saadiah. Ada juga doa-doa yang Haji Mohd. Yassin yang diberikan kepada anak-anaknya.
Antara doa pertama yang ditulis oleh Haji Mohd. Yassin ialah tentang kesihatan dan menjauhi mala petaka.
“Dengan nama Allah Yang Maha menyembuhkan dengan nama Allah Yang Maha mencukupkan, dengan nama Allah Yang Maha menyempurnakan, dengan nama Allah Yang Maha menjadikan langit dan bumi, dengan nama Allah yang berkat menyebut nama-Nya tidak akan memberi sebarang mudarat sama ada di bumi mahupun di langit dan dengan nama Allah Yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.
“Dengan nama Allah yang nyawaku, dengan nama Allah pada tubuhku, dengan nama Allah pada darahku, dengan nama Allah pada dagingku, dengan nama Allah pada tulang rusukku, dengan nama Allah pada kulitku, dengan nama Allah yang tulangku.”
Setelah dibaca doa itu sebanyak tiga kali, barulah diikuti dengan doa berikut:
“Ya Allah sembuhkan sekalian penyakit kami dan sihatkan tubuh badan kami dan jauhkanlah daripada segala bala dan juga tangkal racun. Dan badan kami tahan lasak seolah-oleh tubuh badan kami penuh dengan nama Allah SWT.”
Angkatlah wabak ini. Selain mengamalkan doa penjagaan kesihatan, Haji Mohd. Yassin juga mempunyai doa membersihkan jiwa daripada segala kekotoran jiwa.
Inilah doa sebagai usaha tazkiyah al nafs dan dilakukan oleh beliau bersendirian di Surau as Saadiah, Muar. Memang Haji Mohd. Yassin suka tinggal bersunyian dengan mengamalkan zikrullah dan tekun beribadah.
Doanya bermaksud:
“Ya Allah, berikanlah kepada diriku ketaqwaan dan penyucian jiwa kerana Engkau adalah sebaik-baik yang menyucikan. Engkau Penolongnya dan Pelindungnya; ampunkan dan rahmatilahnya kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Penyayang.”
Doa yang lazim dilakukan oleh Haji Mohd. Yassin antara waktu subuh denga fajar ialah bacaan yang bermaksud:
“Wahai (Allah) Yang Maha Hidup, wahai yang sentiasa berdiri dengan sendirinya. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Engkau (Allah).”
Bapa Perdana Menteri juga menitipkan doa bagi menjauhi seteru dan perbuatan sihir. Menurut Haji Mohd. Yassin, doa ini perlu ditambah dengan zikir Asmaul Husna ‘Ya Latif’ sebanyak 129 kali pada waktu pagi dan petang. Doa itu ditulis dalam bahasa Arab yang bermaksud:
“Dengan nama Allah, apa-apa juga yang dikehendaki oleh Allah, tidak beroleh kebaikan kecuali daripada Allah. Dengan nama Allah, apa-apa juga yang dikehendaki oleh Allah, tidak tertolak kejahatan kecuali dengan izin Allah, tidak mendapat sebarang nikmat kecuali daripada Allah, Dengan nama Allah, apa-apa juga yang dikehendaki oleh Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan izin Allah.”
Di samping itu juga, Haji Yassin meninggalkan doa kepada anak-anaknya untuk menjauhi dengan segala penyakit. Mungkin juga Covid-19 termasuk. Doa itu dipetik daripada ayat al Quran dari surah al Isra:82 yang bermaksud:
“Dan Kami turunkan daripada al Quran itu apa-apa yang menjadi penyembah dan rahmat kepada orang -orang beriman dan ia tidak menambahkan kepada orang-orang zalim itu kecuali kerugian.”
Untuk akhirnya, Haji Yasin meninggalkan doa agar sentiasa dikasihi oleh mukmin. Doa ini bermaksud:
“Ya Allah! Jadikanlah aku seorang yang dikasihi di hati orang-orang mukmin. Berikan aku penglihatan yang tajam dan mendapat kekayaan sehingga 120 tahun. Maka Allah itu sebaik-baik penjaga/pemelihara dan Dia lebih mengasihi daripada segala yang menghasihani.”
Itulah sebahagian daripada ratusan doa yang diamal dan ditinggalkan kepada Haji Yasin untuk anak-anaknya dan juga orang lain. Semoga Mahiadin tidak lupa.
Rujukan:
Abd. Latif Juffri @ Al Jufri dan Amad Bahri Mardi, Tuan Guru Haji Mohd. Yassin. Tokoh Ilmuwan Islam Cemerlang, ITBM, 2012, Kuala Lumpur.
Haji Mohd. Yassin bersama anak-anaknya termasuk Mahiaddin di kanan sekali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan