"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rancangan Umno keluar PN masih jadi agenda Zahid

Hariz Mohd

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob mengucapkan terima kasih kepada presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinannya yang lain atas "sokongan" yang diberikan berikutan pelantikannya sebagai timbalan perdana menteri yang baru hari ini.

Bagaimanapun, Ismail belum boleh berpuas hati atas pelantikannya berikutan rancangan parti itu untuk keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional yang dijangka akan dibahaskan pada mesyuarat majlis tertinggi Umno malam ini.

Sumber yang dekat dengan Zahid memberitahu Malaysiakini bahawa pelantikan Ismail sebagai timbalan perdana menteri hari ini tidak mempengaruhi majlis tertinggi untuk membincangkan langkah parti itu keluar dari kerajaan PN malam ini.

"Ia tidak merubah (situasi). Mesyuarat akan berjalan seperti yang dirancang," kata sumber yang rapat dengan presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas presiden Umno, Najib Razak - yang berada di pihak Zahid - juga mengatakan bahawa Majlis Tertinggi Umno akan membuat keputusan malam ini.

“Seperti bagi menteri-menteri, pelantikan baru ini bawah bidang kuasa khusus PM8.

"Tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Apa pun, kita tunggu dan lihat apa keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno malam ini,” katanya dalam catatan di Facebook.

Baris terakhir hantaran itu dipadamkan, tetapi masih boleh dilihat pada rekod suntingannya.

Pelantikan Ismail bercanggah dengan keputusan majlis tertinggi untuk menolak jawatan timbalan perdana menteri.

Sumber-sumber Umno mengatakan, sebelum mengeluarkan kenyataan ucapan terima kasih kepada Zahid, Ismail telah hadir ibu pejabat parti itu di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur dalam usaha untuk berdamai.

Hasil pertemuan itu tidak dapat dipastikan.

Walaupun majoriti ahli majlis tertinggi berada di pihak Zahid, namun majoriti ahli parlimen Umno dan BN kelihatan berpihak kepada Ismail dan Hishammuddin.

Kedua-duanya boleh menggunakan pelantikan tersebut untuk meyakinkan akar umbi Umno bahawa mereka telah menerima konsensus daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan tidak perlu keluar daripada kerajaan PN.

Dalam kenyataannya hari ini, Ismail mendoakan perpaduan di antara kaum, agama dan politik untuk membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik.

Begitu juga, Hishammuddin mengatakan bahawa kestabilan dan kerjasama diperlukan untuk membawa Malaysia keluar daripada krisis.

Sumber yang dekat dengan Zahid berkata, presiden Umno akan membuat pengumuman sejurus selepas mesyuarat majlis tertinggi malam ini.

"Presiden parti akan membuat siaran langsung di Facebook selepas mesyuarat itu," kata sumber itu.

Tiada ulasan: