"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedudukan Mahiaddin tergantung selagi tiada jumlah rasmi MP tarik diri

SURI LAILA

Secara teknikal, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah jatuh kerana asas sesebuah kerajaan bergantung kepada keabsahan Perdana Menteri yang perlu mempunyai keyakinan majoriti seperti mana kehendak Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun menurut Peguam yang juga Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional Faiz Fadzil, mengikut perundangan, majoriti yang dimiliki oleh Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin masih tergantung selagi mana tiada pengumuman rasmi jumlah Ahli Parlimen Umno yang menarik diri daripada Kerajaan PN.

Ini kerana katanya, Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan menyebut tentang sokongan Ahli Parlimen dan bukannya parti politik yang diwakili mereka.

“Secara politik pula, Tan Sri Mahiaddin telah diberikan isyarat jelas bahawa parti gabungan kerajaan PN telah menarik sokongan terhadap beliau. Maka secara politik dan moralnya, beliau perlu meletakkan jawatan sebagai PM.

“Kaedah kehilangan atau keabsahan majoriti seseorang Ahli Parlimen perlu diputuskan di dalam Parlimen sepertimana precedent kes Stephen Kalong Ningkan. Namun, precedent kes Datuk Seri Nizar, majoriti boleh ditentukan di luar Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Faiz berkata, memandangkan titah Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen bersidang segera, maka penting untuk Parlimen dibuka secepat mungkin dan usul undi percaya terhadap Mahiaddin dijadikan urusan pertama.

Usul ini katanya, boleh dibawa Ahli Parlimen Pas yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang pernah mengemukakannya terhadap Tun Mahathir ketika PH memerintah dahulu.

Tegasnya, jika Perdana Menteri Israel dan Sweden berani untuk diuji keabsahan di Parlimen, Mahiaddin juga perlu perlu berani mengambil langkah sama supaya keluhuran undang-undang dan perlembagaan dijunjung dan institusi demokrasi dipelihara.

“Sebaiknya, Mahiaddin hendaklah secara terhormat meletakkan jawatan sebagai PM supaya seorang Ahli Parlimen yang mempunyai keyakinan majoriti dilantik sebagai PM.

“Negara perlu dipulihkan dan bukan masanya lagi berpolitik untuk kepentingan parti atau peribadi. PH sebagai blok terbesar seharusnya diberikan peluang oleh Ahli-ahli Parlimen lain untuk mengambil alih pentadbiran negara demi kemaslahatan rakyat yang kini sengsara akibat kegagalan kerajaan PN,” ujarnya.

Tiada ulasan: