FMT Reporters
PETALING JAYA: Beberapa pemimpin Umno terkejut dengan pelantikan salah seorang ahlinya sebagai Timbalan Perdana Menteri, membayangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak membincangkan keputusan itu terlebih dahulu dengan pucuk pimpinan Umno.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, mengingatkan Ismail supaya patuh dengan keputusan MKT untuk tidak akan menuntut atau menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Kenapa pelantikan ini tidak dibincang dengan kepimpinan Umno?” katanya kepada FMT, tidak lama selepas Jabatan Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Ismail.
Walaupun Umno sebelum ini dilaporkan menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri, Puad memaklumkan MKT sudah memutuskan untuk letak ‘noktah’ isu TPM dalam satu pertemuan di Janda Baik. Keputusan ini bermakna Umno tidak lagi akan menuntut jawatan itu, malah menolaknya jika ditawarkan sekalipun.
“Sepatutnya, Ismail kena patuh atau rujuk parti dahulu sebab ini keputusan MKT,” katanya.
Sebelum ini, pemimpin Umno seperti Nur Jazlan Mohamed mendakwa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sering melakukan keputusan mengikut kehendak dan kepentingan sendiri.
Pelantikan Ismail ini di kala Umno diuar-uarkan sedang membincangkan cadangan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.
Sementara itu, Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki, mengesahkan MKT memutuskan untuk tidak terima jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Jauh sekali melobi,” kata Asyraf di Facebook, menepis dakwaan Umno melobi jawatan itu sebagai “berita palsu”.
“Rakyat terdesak perlu bantuan, bukan jawatan TPM,” tambahnya.
Bekas presiden Umno, Najib Razak, agak terkejut dengan pelantikan itu, namun mahu menunggu hasil mesyuarat MKT malam ini.
“Ingat ada pengumuman baik untuk keadaan Covid-19, moratorium yang lebih membebankan peminjam atau penambahan i-Citra tapi dapat pengumuman timbalan perdana menteri dan menteri kanan baharu pula.
“Apa pun, kita tunggu dan lihat apa keputusan mesyuarat MKT Umno malam ini,” katanya di Facebook.
Dalam pada itu, Puad berpandangan pelantikan itu bagi mematikan langkah Umno dalam isu menarik sokongan daripada kerajaan.
“Pelantikan ini untuk ‘checkmate’ Umno. Macam dulu dia ‘checkmate’ Umno dengan darurat. Dia tahu Umno nak putuskan mengenai hubungan dengan PN,” katanya.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai usaha untuk memecah-belahkan Umno.
“Kebetulan MKT akan bermesyuarat hari ini. Kalau PM (Muhyiddin Yassin) serius, sepatutnya pelantikan ini berlaku bila kerajaan ditubuhkan, kenapa sekarang baru mahu lantik bila Umno nak tarik sokongan?”
Puad percaya pelantikan Ismail dan Hishammuddin bukan untuk selesaikan masalah rakyat, tetapi masalah perdana menteri dengan Umno.
“…kerana bimbang keputusan Umno tarik balik sokongan.”
PMO ketika mengumumkan pelantikan Ismail dan Hishammuddin berharap langkah ia akan “memperkuatkan perpaduan dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan