"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas belum sedar ada gerakan burukkan parti dari dalam

MOHD SAYUTI OMAR

Seorang indvidu yang rapat dengan Pas dan boleh dianggap sebagai penasihat kerana sering diajak oleh Pas untuk berbincang dan merancang untuk parti itu tidak lama dahulu menghubungi saya lewat petang ini.

Beliau terpanggil untuk berhubung dengan saya apabila membaca status di Facebook saya mengenai luahan seorang kuat Pas Kelantan yang marah dan kesal dengan parti itu sehinggakan mengharap Umno mengambil alih kekuasaan di Kelantan.

Individu berkenaan mengakui apa yang dirasai oleh akar umbi Pas di Kelantan itu kerana dia sendiri juga merasakan Pas kini jauh berbeza dengan Pas sebelum ini khasnya di era Fadzil Mohd Noor sebagai presiden.

Katanya, Pas di zaman Fadzil Noor berdisiplin dan mengawal sikap dan perangai para ahlinya khasnya sebagai pemimpin. Pemimpin tidak boleh bercakap sembarangan ikut suka-suka atau mengikut tafsiran sendiri.

Walaupun Pas menggunakan Quran dan Hadith sebagai landasannya, tetapi ia tidak boleh ditafsirkan secara peribadi mesti harus mengikut prinsip perjuangan Pas yang tidak bercanggah dengan pandangan umum.

Sebalik kata individu itu yang pernah mengikut lawatan ke luar negeri bersama Abdul Hadi Awang, situasi itu tidak berlaku waktu ini. Pada masa ini, Pas mempunyai banyak jurucakap parti dan semua pemimpin hendak bercakap dan boleh mengeluarkan fatwa masing-masing sesuka hati. Setengahnya tidak fikir apakah yang mereka cakap itu memakan diri atau sebaliknya.

Gara-gara itu menurutnya menyebabkan Pas sekarang ini tidak disenangi oleh masyarakat awam diluar sana, menjadikan orang ramai keliru dan bosan dengan Pas. Tindak tanduk, sikap, perbuatan kata-kata sesetengah pemimpin Pas, sungguh comot, katanya.

Beliau yang kini sudah menjarakkan diri dengan Pas, terfikir apakah Pas kini sedang diresap oleh elemen tertentu bertujuan untuk damage parti agama itu. Bahawa apa yang berlaku ini dirancang bukan berlaku dengan sendiri.

Beliau tidak menolak dengan apa yang berlaku dalam Pas kini diatur dan dirancang demikian rupa. Bahawa ada pihak yang sengaja bertindak demikian untuk menampakkan Pas berbeza dengan pendekatan Pas terdahulu yang untuk melemahkan Pas, mengikiskan Pas sebagai sebuah gerakan politik Islam.

Sebagai sebuah gerakan politik Islam menurutnya, Pas tidak dapat dielak daripada diresapi sebarang anasir jahat untuk memusnahkannya. Pas jangan pandang mudah perkara ini.

Apa lagi apabila Pas kini sudah berada dalam kerajaan, musuh-musuh atau mereka yang cemburu dengan kejayaan Pas menjadi lebih serius atau tegal lagi untuk memusnahkan Pas. Dan jalan terbaik ialah dengan melakukan pemusnahan dari dalam apabila menyedari Pas sudah kukuh dari segi fizikal, sokongan.

Bertolak dari itu beliau menyebut kepada saya, adalah baik kalau Pas membuat “diagnosis” mengenai hal ini, bagi mengelakkan Pas lebih jauh lagi diresapi oleh anasir yang tidak baik itu, dan paling bahayanya ia memburuk dari dalam.

Saya tanya individu berkenaan apakah dia dapat mengagak sesiapa atau kumpulan mana dilihat mengepalai gerakan memburukkan Pas dari dalam itu, beliau tidak mahu segera memberi jawaban, sebaliknya meminta agak saya mengesan sendiri?

Tanda-tanda, ada katanya. Saya tanya lagi agak-agaknya apakah fenomena ini disedari oleh Pas, beliau jawab penuh yakin Pas belum sedar.

Tiada ulasan: