"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kadir dakwa Zahid, 'kluster mahkamah' cuba jatuhkan Muhyiddin melalui Ismail

Malaysiakini 

Bekas ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin mendakwa Umno jelas mahu merampas kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerusi naib presidennya, Ismail Sabri Yaakob.

Kadir berkata, ia dapat dilihat setelah Umno - selepas keputusan Majlis Tertinggi - mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, tetapi pada masa sama tidak mengarahkan menteri dan timbalan daripada parti itu untuk meletakkan jawatan.

Sebaliknya, katanya lagi, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dikatakan merestui pelantikan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.

"Strategi Ahmad Zahid dan kluster mahkamah sangat jelas. Mereka mahu menyingkirkan Muhyiddin dengan harapan Umno boleh merampas kerajaan melalui Ismail Sabri.

"Bagi ahli-ahli Parlimen Umno pula, kerusi menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah terlalu empuk untuk dikorbankan. Slogan mereka adalah 'demi diriku, anak biniku dan konco-koncoku', (slogan) demi agama, bangsa dan negara adalah klise," dakwanya dalam satu hantaran di Facebooknya, pagi ini.

Menyifatkan langkah itu sebagai "politik orang tidak siuman", Kadir juga memetik kenyataan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan bahawa ahli Parlimen Umno boleh menggunakan "budi bicara" jika berlaku sebarang pengundian ketika sidang Parlimen nanti.

"Hasil hipokrasi dan penyundalan politik ekstrem oleh pemimpin-pemimpin atasan Umno ini, Muhyiddin kekal perdana menteri walaupun MT Umno sendiri mahu dia meletakkan jawatan," katanya lagi.

Untuk rekod, Ahmad juga berkata walapun ahli Parlimen Umno boleh menggunakan budi bicara, mereka perlu menjadikan keputusan parti sebagai "panduan".

Awal pagi semalam, Ahmad Zahid mengumumkan keputusan MT Umno untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkuatkuasa serta merta.

Menggariskan apa yang disifatkannya sebagai tujuh kegagalan Muhyiddin dalam memimpin kerajaan, Ahmad Zahid berkata seorang perdana menteri baru perlu dilantik sebelum PRU dapat dilakukan setelah negara mencapai tahap imuniti kelompok.

'Ini bukan politik orang siuman'

Dalam pada itu Kadir berkata meskipun Umno telah memutuskan menarik sokongan, kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri sukar dipastikan.

"Buat masa ini, tidak siapa tahu kedudukan sebenar sokongan ahli Parlimen terhadapnya. Kita tidak tahu sama ada kerajaan yang ada sekarang halal, haram, harus, sunat atau makruh," katanya lagi.

Baginya, apa yang berlaku pada masa ini adalah "mainan politik kluster mahkamah" dalam Umno yang juga menyelamatkan diri, selepas Muhyiddin dilihat enggan campur tangan dalam perbicaraan mahkamah yang melibatkan mereka.

"Ini memaksa kluster mahkamah berjinak-jinak dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dengan harapan dia lebih sedia bertolak ansur jika berjaya menjadi perdana menteri, walaupun Perhimpunan Agung Umno Mac lalu memutuskan 'no Bersatu, no Anwar, no DAP'," katanya lagi.

Walaupun Zahid sekali lagi menyebut keputusan menolak Anwar dan DAP pada sidang media awal pagi semalam, sebelum ini memang timbul spekulasi berhubung usaha membentuk kerjasama dengan pembangkang, khususnya PKR.

"Kluster Mahkamah" biasanya diguna untuk merujuk kepada pemimpin Umno yang berdepan perbicaraan kes mahkamah selepas kejatuhan BN dalam pilihan raya umum lalu.

"Mana-mana orang siuman yang mengikuti perkembangan politik semasa tidak akan faham sebab politik yang sedang dimainkan sekarang bukanlah politik orang siuman.

"Ia adalah politik orang yang menjadi tidak siuman kerana gila pangkat, takut masuk penjara dan tidak mahu disiasat apabila hilang kuasa," kata Kadir lagi.

Tiada ulasan: